My Add

Tuesday 30 July 2013

Selenggara PPR perlu kerjasama semua yang berkenaan

KUALA LUMPUR , SELASA, 30 Julai, 2013: Kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR) perlu bekerjasama memastikan kerja-kerja penyenggaraan berjalan baik bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Halimah Mohd Sadique berkata, peranan pihak kerajaan pusat ialah dari segi pembiayaan, perancangan dan pembinaan PPR.

"Bila kita serah pada kerajaan negeri, terpulang kepada mereka, PBT dan komuniti penghuni untuk melakukan usaha menyenggara bagi mengekalkan keselesaan dan keselamatan persekitaran termasuk kemudahan lif," katanya.

Beliau menjawab soalan Senator Syed Ibrahim Kader pada persidangan Dewan Negara di sini hari ini berhubung langkah kementerian dalam mengatasi masalah penyenggaraan rumah pangsa kos rendah.

Halimah menegaskan kerajaan negeri perlu lebih kerap membuat pemantauan berkala dan tidak mengabaikan PPR walaupun bayaran penyenggaraan dilihat "tidak memberangsangkan" atau tertunggak.

"Komuniti perumahan juga perlu lebih bertanggungjawab dengan menubuhkan jawatankuasa penyenggaraan sendiri bagi melicinkan segala urusan dan paling penting tidak lokek mengeluarkan bayaran bagi memastikan proses penyenggaraan tidak terjejas," katanya.

Menurut Halimah kerajaan pusat menyediakan RM500 juta sebagai peruntukan penyengaraan rumah berstrata kos rendah awam melalui Program Penyenggaraan Perumahan (PPP) di seluruh negara bagi tempoh Rancangan Malaysia ke-10 (2011 hingga 2015) dengan kerjasama PBT.
Setakat ini kerajaan telah menyalurkan RM55.9 juta untuk membiayai PPP.

Bagi PPR swasta pula, kerajaan menyediakan Tabung Penyenggaraan 1Malaysia (TP1M) untuk penghuni rumah pangsa kos sederhana dan kos rendah swasta dengan menanggung pembiayaan membaik pulih sebanyak 90 peratus manakala 10 peratus lagi ditanggung pihak pengurusan perumahan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment