My Add

Thursday, 26 December 2013

213 laporan polis bantah perhimpunan

KUALA LUMPUR, RABU, 25 Disember, 2013: Bantahan orang ramai terhadap penganjuran Himpunan Guling Kerajaan yang dijangka diadakan minggu depan terus meningkat dengan 213 laporan diterima polis di seluruh negara setakat ini.

Pertambahan itu menunjukkan peningkatan sekali ganda berbanding semalam iaitu 104 laporan polis.

Kesemua laporan diterima daripada pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), politik dan individu.

Terbaharu, Gabungan NGO Anak-Anak Kelantan di Lembah Klang turut membuat laporan polis bagi menolak perhimpunan itu yang bertujuan untuk menggulingkan kerajaan sedia ada yang dipilih secara sah.

Menurut Setiausahanya, Mohd. Kamaruddin Mahmood, pihaknya menolak perhimpunan tersebut kerana yakin terdapat agenda tertentu yang dimainkan oleh pihak penganjur.

"Walaupun perhimpunan ini dikatakan isu kenaikan harga barang atau cukai, tetapi ternyata bermotifkan politik. Pelaksanaan perhimpunan ini hanya memburukkan nama negara dan mengancam keselamatan masyarakat.

"Saya berharap Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan polis segera mengambil tindakan terhadap penganjur dan peserta mengikut undang-undang yang digubal serta menghalang perhimpunan tersebut," katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Dang Wangi di sini hari ini.

Di Shah Alam, KDN digesa mengambil langkah-langkah pencegahan bagi menyekat usaha pihak tertentu yang mahu mengadakan perhimpunan haram bagi menggulingkan kerajaan pada sambutan tahun baharu ini.

Gesaan itu dinyatakan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kota Raja, Mohd. Khusyairi Abd. Aziz yang menyifatkan perhimpunan itu bukan hanya menyalahi undang-undang tetapi turut merosakkan kesejahteraan, keselamatan dan keamanan negara dan rakyat di negara ini.

"Selama ini rakyat hidup dengan aman tanpa adanya sebarang kekacauan dan huru-hara di negara ini. Namun, hari ini ada pihak yang cuba mengadakan perhimpunan haram yang difahamkan mengajak orang ramai untuk menggulingkan kerajaan. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment