Suspek kes simbah asid ditahan bersama 2 isteri
KOTA BHARU, KHAMIS, 26 Disember, 2013: Selepas lebih setahun memburu seorang lelaki yang disyaki terlibat dengan kes menyimbah asid, penculikan dan ugut, polis Kelantan akhirnya berjaya menangkap suspek di Ipoh, Perak pada Khamis lepas.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, suspek berusia 30 tahun itu diberkas bersama dua isterinya di sebuah rumah di Chemor, Ipoh.
"Suspek kemudiannya dibawa pulang ke Kelantan dan direman selama tujuh hari untuk membantu siasatan.
"Suspek terlibat dengan beberapa kesalahan jenayah antaranya simbah asid, penculikan, ugutan bunuh dan mencederakan mangsa," katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Pada Februari tahun lepas, seorang penjaga bot yang dipercayai bertindak sebagai orang tengah bagi menyelesaikan kes perselisihan faham berkaitan tong ikan, ditetak di badan dan disimbah dengan asid di Kampung Hulu Beta, Nilam Puri di sini. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment