My Add

Wednesday 25 June 2014

565 pelajar antarabangsa salah guna pas pelajar

 MARY Yap Kain Ching
KUALA LUMPUR, SELASA 24 Jun, 2014: Sebanyak 565 pelajar antarabangsa di institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan didapati melanggar peraturan serta menyalahgunakan pas pelajar setakat ini.

Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk Mary Yap Kain Ching berkata, daripada jumlah itu pelajar dari Nigeria mencatatkan jumlah tertinggi iaitu sebanyak 159 pelajar melibatkan 141 lelaki dan 18 perempuan diikuti pelajar dari China seramai 115 orang melibatkan 74 lelaki dan 41 perempuan.

"Negara lain pula adalah Indonesia seramai 29 orang (sembilan lelaki, 20 perempuan), Iran 17 orang (10 lelaki, tujuh perempuan), Bangladesh dan India masing-masing 14 orang (sembilan lelaki, lima perempuan), Vietnam 13 orang (12 lelaki, seorang perempuan) serta negara-negara lain sebanyak 204 pelajar," katanya.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Adam Abdul Hamid berkenaan bilangan kes sebenar penyalahgunaan pas pelajar asing di Dewan Negara hari ini.

Mary berkata, pihaknya sentiasa menjalankan pemantauan berterusan terhadap pelajar asing dengan melibatkan kerjasama bahagian penguatkuasaan dan badan kawal selia seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen.

"Sekiranya pelajar antarabangsa didapati terlibat dalam aktiviti yang menyalahi undang-undang setelah memasuki Malaysia, mereka akan tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) agensi penguatkuasaan seperti PDRM, Jabatan Imigresen dan lain-lain.

"Selain itu, PDRM dan Jabatan Imigresen juga boleh mengambil tindakan secara terus kepada IPT sekiranya mereka cuai di dalam proses mengurus dan memantau pelajar antarabangsa yang berdaftar di IPT masing-masing," katanya.

Sementara itu, menjawab soalan Senator Datuk Dr. Mohd. Firdaus Abdullah mengenai syarat kelayakan pelajar antarabangsa, Mary berkata, langkah ketat telah diambil bagi memastikan hanya pelajar yang layak sahaja dipilih.

"Pemantauan bukan sahaja dalam aspek sahsiah peribadi tetapi juga melibatkan keputusan akademik pelajar asing tersebut," jelasnya. - NUTUSAN 

No comments:

Post a Comment