My Add

Wednesday 25 June 2014

klia2 kebanggaan rakyat

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD dan SHARAIMEI SHAIK AHMEDULLAH

 * NAJIB Tun Razak menyempurnakan upacara perasmian Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), Turut sama, Hishammuddin Tun Hussein (lima dari kanan) dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (tiga dari kiri) di Sepang, semalam. - UTUSAN/RASHID MAHFOF
SEPANG, SELASA 24 Jun, 2014: Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyifatkan klia2 yang telah beroperasi sejak sebulan lalu sebagai satu mercu tanda baharu yang menjadi kebanggaan rakyat negara ini.

Perdana Menteri berkata, kewujudan klia2 bagi menggantikan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) selain peningkatan jumlah penumpang saban tahun turut menjadi bukti kepada kepesatan industri penerbangan negara walaupun dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu.

Malah apa yang lebih menarik kata Najib, beliau turut menerima komen-komen positif serta ucapan tahniah daripada masyarakat tempatan serta pelancong luar melalui Twitter dan media sosial mengenai pengalaman menarik mereka menggunakan khidmat klia2.

"Menoleh ke belakang tidak terasa bahawa sudah 16 tahun masa berlalu sejak Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dibuka secara rasmi pada 28 Jun 1998. Sejak tarikh itu pelbagai perubahan nasional dan global berlaku yang sekali gus mengubah landskap industri penerbangan negara.

"Alhamdulillah, Malaysia tidak ketinggalan dalam arus perubahan itu dan industri penerbangan negara juga telah berkembang pesat. Hari ini munculnya klia2 yang menjadi mercu tanda pencapaian kita dalam industri penerbangan serta sebagai pemangkin kepada perkembangan berterusan dalam industri penuh cabaran ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan terminal klia2 di sini hari ini.

Yang turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Timbalan Menteri Pengangkutan yang juga Pengerusi Pasukan Khas klia2, Datuk Ab. Aziz Kaprawi; Pengerusi Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB), Datuk Seri Dr. Wan Abdul Aziz Wan Abdullah dan Pengarah Urusan MAHB, Datuk Badlisham Ghazali.

Najib berkata, klia2 juga merupakan bukti kepada kemampuan negara menyediakan sebuah bangunan berkelas dunia selain boleh dijadikan sebagai satu penanda aras kepada pembinaan sebuah terminal seperti itu.

"Sekali lagi, klia2 telah meletakkan Malaysia di dalam peta dunia terutama dalam sektor pelancongan penerbangan. Kita amat berbangga dengan klia2 kerana bagi saya kemunculannya sejajar dengan pertumbuhan industri penerbangan negara," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan beliau berkata, klia2 mampu menguruskan 45 juta penumpang setahun, tiga kali ganda daripada jumlah yang mampu ditampung oleh LCCT.

"Sejak satu dekad lalu pertumbuhan sektor pelancongan tambang murah secara konsisten telah merekodkan pertumbuhan dua angka dari setahun ke setahun dan pertumbuhan ini dijangka berterusan," katanya.

Selain itu menurut Najib, industri penerbangan adalah antara penyumbang utama kepada pertumbuhan sektor pelancongan negara.

"Pada tahun 2013 sebanyak 26 juta pelancong telah datang ke Malaysia dengan jumlah sumbangannya kepada negara adalah RM65.4 bilion.

"Tahun ini pula adalah Tahun Melawat Malaysia dan sudah semestinya klia2 akan merancakkan lagi kempen ini," tambah Perdana Menteri.

Najib dalam pada itu turut menyatakan komitmen kerajaan untuk meneruskan usaha mempromosi serta menyokong pertumbuhan industri penerbangan negara melalui kerjasama dengan MAHB iaitu menaik taraf 39 lapangan terbang yang ada di seluruh negara. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment