My Add

Tuesday 24 June 2014

Tingkat kerjasama dua negara

Oleh SHARAIMEI SHAIK AHMEDULLAH
 
 * TUANKU Abdul Halim Mu'adzam Shah mengiringi Emomali Sharipovich memeriksa perbarisan hormat panji-panji Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja dalam lawatan rasmi Presiden Tajikistan di Dataran Parlimen, Kuala Lumpur, semalam. Turut sama, Najib Tun Razak (belakang). - Utusan/Nasirruddin Yazid
PUTRAJAYA, ISNIN 23 Jun, 2014: Malaysia dan Tajikistan hari ini mencapai persetujuan untuk meningkatkan kerjasama dua hala antara kedua-dua negara dalam pelbagai bidang terutamanya perdagangan ke peringkat lebih tinggi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pada masa sama, kedua-dua negara juga bersetuju untuk meningkatkan kerjasama dua hala dalam bidang pendidikan, kebudayaan, sains dan teknologi, media massa, pelancongan, sukan, kesihatan awam dan keselamatan sosial.

Beliau berkata, pada tahun lalu sahaja nilai dagangan antara kedua-dua negara mencecah sebanyak RM17.7 juta (AS$5.5 juta) iaitu peningkatan sebanyak 184 peratus berbanding tahun sebelumnya.

"Kita yakin menerusi lawatan kali pertama Presiden Tajikistan, Emomali Rahmon ke Malaysia akan membuka episod baharu dalam meningkatkan kerjasama dua hala antara Malaysia dengan Tajikistan terutama dalam bidang ekonomi dan perdagangan.

"Pada masa sama, beberapa syarikat dari Malaysia juga bersedia untuk melabur di negara tersebut dengan menawarkan kepakaran dalam bidang pembinaan, perumahan awam, perlombongan, tenaga dan makanan serta produk halal," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar bersama-sama Presiden Tajikistan sempena lawatan kerja empat hari ke Malaysia di Seri Perdana di sini.

Terdahulu, kedua-dua pemimpin negara itu menyaksikan majlis menandatangani enam memorandum persefahaman (MoU) merangkumi bidang pendidikan, kebudayaan, ekonomi, sains dan teknologi, pelancongan serta sukan antara Malaysia dengan Tajikistan.

Dalam pada itu, Najib berkata, menerusi kerjasama itu, Malaysia berharap lebih banyak pelajar dari Tajikistan dapat menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi di negara ini.

Katanya, sebelum ini terdapat sebanyak 200 pelajar dari negara Asia Tengah itu menyambung pengajian di institusi pengajian tinggi di seluruh negara.

"Menerusi perjanjian ini juga diharap membuka lebih banyak peluang kepada rakyat Malaysia untuk berkunjung ke Tajikistan dan pada masa sama, lebih ramai pelancong negara itu ke sini.

"Selain itu, kita juga akan terus menyokong program latihan dan teknikal untuk pegawai dari Tajikistan," katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, sebagai negara Islam, kedua-dua negara juga akan bekerjasama lebih erat bagi membantu isu yang melanda umat Islam di seluruh dunia dan menggerakkan perpaduan dalam kalangan negara Islam.

Najib berkata, Presiden Tajikistan itu juga menyokong penuh hasrat Malaysia untuk menduduki kerusi wakil tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) bagi penggal 2015-2016. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment