My Add

Wednesday 25 June 2014

Kemelut PKR Cabang Nibong Tebal berpanjangan

* MOHD. Kamil Abu Bakar menunjukkan dokumen laporan parti Cabang Nibong Tebal semasa mengadakan sidang akhbar bagi mendesak pemilihan semula diadakan selepas didakwa meragukan di Sungai Bakap, Pulau Pinang, semalam.
NIBONG TEBAL, SELASA 24 Jun, 2014: Kemelut yang melanda pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Nibong Tebal terus berpanjangan selepas bekas penyandang jawatan ahli jawatankuasanya menolak keputusan pemilihan kali kedua yang diadakan Ahad lalu.

Sambil mendesak diadakan pemilihan kali ketiga dalam tempoh terdekat, bekas Timbalan Ketua Cabang, Mohd. Kamil Abu Bakar berkata, ‘kumpulannya’ yang menyokong bekas Ketua Cabang, Datuk Maktar Shapee berasa kecewa kerana mendakwa pemilihan kali ini tidak adil.

"PKR adalah parti yang memperjuangkan keadilan tetapi malangnya perkara itu tidak berlaku dalam pemilihan di Nibong Tebal yang mencetuskan pelbagai persoalan dan bantahan ahli-ahli peringkat akar umbi," katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Pemilihan PKR Cabang Nibong Tebal kali pertama diadakan pada 4 Mei lalu tetapi dibatalkan kerana berlaku pergaduhan sesama ahli selepas ada yang mendakwa kertas undi dikeluarkan melebihi senarai ahli berdaftar.

Sehubungan itu, pemilihan kali kedua diadakan Ahad lalu, namun diboikot kem Maktar yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang kerana mendakwa hanya dimaklumkan empat hari sebelum pemilihan berbanding calon lain yang mengetahui tiga minggu lebih awal.

Mengulas lanjut, Mohd. Kamil berkata, pihaknya tidak mengiktiraf kemenangan Datuk Dr. Mansor Othman selaku Ketua Cabang PKR Nibong Tebal baharu kerana pemilihan berkenaan dicemari unsur sabotaj dan pilih kasih.

"Bayangkan apa perasan kami yang berjuang selama bertahun-tahun di sini untuk parti dengan ikhlas. Kami bukan seperti sesetengah pihak yang datang ke sini kerana hanya mahu mendapatkan jawatan," katanya.

Mohd. Kamil mendakwa, disebabkan wujud penipuan dalam pemilihan walaupun telah dua kali diadakan, ada cadangan supaya kumpulannya bersama Maktar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap supaya keluar daripada PKR.

"Bagaimanapun perkara itu (keluar parti) kita letak tepi dahulu kera­na pasukan kami mahu melawan ketidakadilan yang berlaku dalam pemilihan ini," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment