My Add

Wednesday 25 June 2014

CEO GLC tidak serius - Perkasa

Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH

KUALA LUMPUR, SELASA 24 Jun, 2014: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di syarikat milik kerajaan (GLC) didakwa gagal mengemukakan petunjuk prestasi utama (KPI) untuk menetapkan sasaran ke atas penyertaan lebih ramai bumiputera dalam usaha kerajaan memperkasakan ekonomi golongan itu.

Perkara tersebut merupakan antara beberapa resolusi dicapai dalam siri pertama persidangan meja bulat bagi membincangkan dasar kerajaan yang menghalang pelaksanaan agenda pembangunan ekonomi bumiputera anjuran Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) di Kelab Sultan Sulaiman, di sini hari ini.

Persidangan itu merumuskan bahawa kegagalan tersebut memperlihatkan CEO GLC sebagai tidak serius dalam melaksanakan agenda pembangunan ekonomi golongan berkenaan seperti yang diarahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada majlis pengumuman Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera pada September tahun lalu.

Selain itu, persida­ngan berkenaan menyifatkan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) yang sepatutnya mengawal monopoli tidak berfungsi secara aktif bagi menangani ke­giatan berkenaan, sebaliknya lebih banyak bertindak sebagai pemberi nasihat berbanding mengambil tindakan.

Resolusi lain yang dicapai dalam persidangan meja bulat tersebut adalah menggesa kerajaan supaya tidak memasukkan dasar-dasar liberisasi tidak menguntungkan bumiputera yang dijalankan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) ke dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) seperti menghentikan sambutan ‘karpet merah’ kepada ekspatriat luar negara dengan memberi penekanan terhadap penggunaan pakar dan bakat tempatan.

Persidangan itu turut menolak Perjanjian Perkongsian Trans-Pasi­fik (TPPA) yang didakwanya akan menjejaskan agenda pembangunan ekonomi bumiputera di samping menggesa Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) menyatakan dengan jelas agenda unit tersebut untuk membangunkan golongan berkenaan.

Resolusi-resolusi berkenaan diumumkan oleh Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali pada persida­ngan berkenaan yang dihadiri oleh 22 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan ekonomi bumiputera.

Sementara itu, Pengerusi Biro Ekonomi Bumiputera Perkasa, Dr. Zubir Harun berkata, persidangan meja bulat berkenaan mendapati bahawa Program Transformasi Ekonomi yang dilaksanakan pada masa ini tidak mesra bumiputera dan jika perkara itu berterusan boleh meng­akibatkan perbezaan pendapatan kasar negara (GNI) sebanyak RM1.25 bilion antara bumiputera dan bukan bumiputera menjelang 2020.

Sehubungan itu kata beliau, bagi menentukan hala tuju yang jelas dalam agenda pemerkasaan ekonomi bumiputera, persidangan berkenaan mendesak kerajaan mengambil tindakan antaranya se­perti berikut:

* Meletakkan dasar yang jelas untuk mencapai GNI bumiputera sebanyak RM900 bilion menjelang 2020 menerusi strategi seperti menetapkan KPI kementerian, GLC dan jabatan kerajaan, memperbanyakkan inisiatif Projek Permulaan (EPP) bumiputera, mewujudkan rantaian pembekal dan rantaian nilai dalam rangka ekosistem ekonomi golongan itu.

* Meningkatkan pendapatan isi rumah dari RM4,500 sebulan sehingga RM10,000 sebulan menerusi peningkatan gaji dan upah, pendapatan keusahawanan, perniagaan serta pemilikan harta.

* Meningkatkan gaji/Keluaran Negara Kasar (GDP) daripada lingkungan 30 peratus kepada 50 peratus menerusi dasar gaji minimum yang mempunyai skala peningkatan tahunan, dasar pekerja asing lebih berkesan bagi mengelakkan lambakan dan dasar peningkatan tahap pendidikan serta kemahiran bumiputera. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment