My Add

Wednesday 25 June 2014

Pesara kaya: Syor tubuh unit khas di SPRM

KUALA LUMPUR, SELASA 24 Jun, 2014: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mencadangkan supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menubuhkan satu unit khas untuk menyiasat bekas pegawai tinggi kerajaan yang hidup mewah selepas persaraan kerana mereka mungkin terlibat dengan amalan rasuah.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, penubuhan unit itu bertujuan menjejaki golongan berkenaan supaya siasatan dan tindakan dapat diambil sekali gus mengelakkan mereka terlepas daripada dakwaan rasuah.

"Kita tengok ada pegawai tinggi kerajaan hidup mewah melampaui gaji yang diperoleh selepas persaraan. Persoalannya bagaimanakah mereka ini mengumpul harta itu?.

"SPRM perlu memikirkan bagai­mana hendak menangani perkara ini. Sepatutnya kena ada satu unit di suruhanjaya itu untuk menjejaki mereka. Kaedahnya terserah kepada kerajaan, kalau perlu gubal sahaja undang-undang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyertai persidangan meja bulat bagi membincangkan dasar kerajaan yang menghalang pelaksanaan agenda pembangunan ekonomi bumiputera anjuran Perkasa di Kelab Sultan Sulaiman, di sini hari ini.

Syor itu merupakan antara resolusi dicapai dalam persidangan berkenaan yang disertai oleh 22 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan ekonomi bumiputera.

Dalam perkembangan lain, Ibrahim mendesak Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) supaya mengeluarkan senarai terperinci syarikat bumiputera yang diberi lesen untuk berniaga di kompleks beli-belah gateway@klia2 dan keluasan lot diterima mereka.

Kata beliau, tindakan itu bagi memastikan dakwaan bahawa sejumlah 35 peratus peniaga runcit bumiputera di klia2 sekarang adalah tepat dan mereka menerima layanan adil kerana kemungkinan saiz lot kedai lebih kecil berbanding saiz yang diperoleh peniaga asing.

"Kita mengesyaki ada syarikat bumiputera yang mendapat lebih daripada satu lot dengan menggunakan nama berlainan dan menyewakan kepada orang lain atau mengalibabakan lesen.

"Penjelasan bahawa terdapat 35 peratus peniaga runcit bumiputera di klia2 tidak memuaskan hati sebab di gedung lain yang dibangunkan oleh agensi kerajaan banyak orang ternama yang memperoleh lesen perniagaan dan mereka mengalibabakannya kepada orang lain," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment