My Add

Wednesday 25 June 2014

Ijazah Sarjana Muda Automatif

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR

 * P. Kamalanathan (tengah) menyaksikan majlis menandatangani nota kerjasama di antara Mohlis Sahari (kanan) dan Mohamad Madani Sahari (kiri) di Dewan Politeknik Sultan Azlan Shah, Behrang, Tanjung Malim, Perak, semalam. - UTUSAN/Zulkarnain Mohd. Saidin
TANJUNG MALIM, SELASA 24 Jun, 2014: Jabatan Pengajian Politeknik (JPP) bakal menawarkan ijazah sarjana muda dalam bidang Automotif yang menitikberatkan pembelajaran berasaskan pekerjaan (WBL), sekali gus mampu meningkatkan kebolehpasaran graduan dan hubu­ngan rapat bersama industri, mulai September ini.

Timbalan Menteri Pendidikan II, P. Kamalanathan berkata, untuk peringkat awal, sebanyak 30 pelajar lepasan diploma akan diambil mengikuti Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Teknologi Pembuatan (Reka Bentuk Automatif) di Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS), Behrang di sini, selama empat tahun yang turut mewajibkan latihan industri selama setahun pada tahun akhir pengajian.

"Kursus Automatif seumpama ini juga akan ditawarkan di tiga lagi politeknik premier selepas ini iaitu di Politeknik Ungku Omar (PUO), Ipoh; Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam dan Politeknik Ibrahim Sultan, Johor sebelum dibuka kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk mengikutinya.

"Bagi lulusan diploma, mereka boleh mendapat pengecualian selama setahun untuk tahun pertama, sekali gus memendekkan tempoh pengajian," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyaksikan majlis menandatangani nota kerjasama antara JPP dengan Institut Automatif Malaysia (MAI) serta 17 pemain industri automotif, di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, JPP diwakili Ketua Pengarahnya, Datuk Mohlis Jaafar sementara MAI yang berpera­nan mengkoordinasikan perkembangan industri automatif negara di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) pula diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohamad Madani Sahari.

Antara pihak industri yang terlibat dalam kerjasama itu termasuklah Honda Malaysia Sdn. Bhd., Toyota Assembly Services Sdn. Bhd., Mazda-Bermaz Motor Sdn. Bhd., Tan Chong Motor Assemblies (Nissan) Sdn. Bhd. dan Denso (Malaysia) Sdn. Bhd.

Nota kerjasama itu antara lain merangkumi pelaksanaan WBL, pen­sijilan profesional serta penempatan pelajar-pelajar politeknik bagi mengikuti latihan industri dalam bidang automatif.

Kerjasama yang turut seiring dengan hala tuju Dasar Automatif Negara (DAN) dan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) itu sekali gus diharapkan dapat mengu­rangkan kebergantungan pekerja asing, selain melahirkan banyak tenaga mahir terlatih.

Dalam pada itu, Kamalanathan berkata, pengajian di politeknik kini semakin mendapat tempat di hati para pelajar apabila kementerian menerima hampir 200,000 permohonan masuk ke institusi berkenaan pada tahun ini.

"Sebanyak 23,000 individu memilihnya sebagai pilihan pertama, namun di politeknik premier, kita hanya dapat menyediakan sebanyak 3,500 tempat," katanya.

Sementara itu, Mohlis berkata, politeknik telah melahirkan kira-kira 200,000 lulusan atau bersamaan 55 peratus daripada keseluruhan graduan teknikal di seluruh negara.

"Saya yakin melalui pelan transformasi politeknik serta soko­ngan daripada pihak industri, kebolehpasaran graduan kita mampu mencecah 85 peratus pada tahun 2015, sekali gus dapat melahirkan kira-kira 300,000 graduan teknikal menjelang 2020," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment