My Add

Wednesday 25 June 2014

Mahkamah Rayuan terkhilaf - Pendakwa raya

 * AZILAH Hadri keluar dari pintu bawah Istana Kehakiman Putrajaya selepas hadir ke Mahkamah Persekutuan untuk mendengar rayuan kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu di Istana Kehakiman Putrajaya, semalam.
PUTRAJAYA, SELASA 24 Jun, 2014: Mahkamah Rayuan terkhilaf daripada segi fakta kerana gagal mengaitkan peranan dua anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Bukit Aman, Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar dengan isu pemilikan bahan letupan yang digunakan dalam pembunuhan model sambilan, Altantuya Shaariibuu, lapan tahun lalu.

Timbalan Peguam Cara Negara II, Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah berhujah di Mahkamah Persekutuan hari ini, wujud keterangan bahawa terdapat kesan surihan bahan letupan di tempat kejadian model itu dibunuh.

Beliau turut menghujahkan, keterangan ahli patologi malah menyatakan punca kematian model sambilan warganegara Mongolia itu adalah akibat kecederaan yang berpunca daripada bahan letupan.

Menurut Tun Abdul Majid, Mahkamah Rayuan tersalah arah apabila berpendapat tiada keterangan menunjukkan Azilah mempunyai kawalan dan pemilikan terhadap bahan letupan C4 yang digunakan untuk meletupkan Altantuya.

Pendakwa raya berhujah, keterangan dua saksi pendakwaan menunjukkan UTK langsung tidak menggunakan bahan letupan jenis C4 dalam sesi latihan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Manoj Kurup yang turut terlibat dalam pasukan pendakwaan ketika ditemui pemberita menyatakan, bahan letupan yang ditemui di tempat kejadian ialah jenis PETN dan RDX.

Hujah Tun Abdul Majid, Mahkamah Rayuan ketika membebaskan Azilah dan Sirul Azhar gagal menimbang keterangan bahawa kedua-duanya mempunyai peluang untuk menyimpan bahan letupan yang tidak habis digunakan ketika latihan tetapi ia bukan jenis C4.

Sehubungan itu, pihak pendakwaan menghujahkan, Mahkamah Rayuan terkhilaf sewaktu memutuskan rantaian keterangan tercicir berhubung isu pemilikan bahan letupan yang dikaitkan dengan pembunuhan Altantuya.

Sementara itu, salah seorang peguam yang mewakili Azilah, J.Kuldeep Kumar berhujah, Mahkamah Rayuan betul ketika campur tangan dalam keputusan Mahkamah Tinggi berhubung pemilikan bahan letupan C4.

Peguam bela menghujahkan, bahan berkenaan tiada dalam kawalan Azilah kerana ia dikawal ketat oleh pihak UTK dan anak guamnya hanya mempunyai latihan asas berkaitan letupan namun tidak pernah mengikuti sebarang operasi menggunakan bahan itu.

Tun Abdul Majid selanjutnya berhujah, Mahkamah Rayuan terkhilaf ketika memutuskan bahawa wujud jurang dalam kes pendakwaan bagi menunjukkan kaitan di antara selipar yang terdapat kesan darah dengan Sirul Azhar selepas selipar itu ditemui di dalam keretanya.

Selipar itu ditemui oleh pihak polis dalam kereta berkenaan yang disimpan oleh seorang lagi pegawai polis selama tiga hari sewaktu Sirul Azhar ke luar negara.

Pihak pendakwaan menghujahkan, tompokan darah itu adalah darah mangsa berdasarkan kepada sampel darah yang diambil daripada kedua-dua ibu bapanya.

Mahkamah sedang mendengar rayuan akhir pendakwa raya yang tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rayuan pada 23 Ogos tahun lalu yang membebaskan Azilah dan Sirul Azhar daripada sabitan dan hukuman gantung kerana membunuh Altantuya.

Mahkamah Rayuan melepas dan membebaskan kedua-duanya selepas berpuas hati bahawa tidak selamat untuk mengekalkan sabitan dan hukuman gantung yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi pada 9 April 2009.

Azilah, 38, (perayu pertama) dan Sirul Azhar, 43, (perayu kedua) dituduh membunuh wanita kelahiran Ulan Bator berusia 28 tahun itu di antara pukul 10 malam, 19 Oktober dan 1 pagi, 20 Oktober 2006 di antara Lot 12843 dan Lot 16735, Mukim Bukit Raja, Klang dekat sini.

Panel lima hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria yang bersidang bersama Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum; TUSANU-  

No comments:

Post a Comment