My Add

Wednesday 25 June 2014

Dua sindiket dadah tumpas

Oleh NORAINA NAZERI dan MASZUREEN HADZMAN

 * NOOR Rashid Ibrahim (dua, kiri) menunjukkan dadah yang dirampas selepas mengadakan sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR, SELASA 24 Ju, 2014: Polis berjaya melumpuhkan dua lagi sindiket pengedaran dadah antarabangsa dengan tertangkapnya tiga warga tempatan dan dua warga asing dalam tiga serbuan berasingan di Nilai, Negeri Sembilan, Putrajaya dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang dekat sini pada 19 dan 22 Jun lalu.

Dalam serbuan itu, polis turut merampas 391,900 biji pil dipercayai dadah psikotropik dan 1.6 kilogram syabu yang kesemuanya bernilai RM2.2 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, serbuan pertama di Nilai melibatkan tangkapan sepasang suami isteri warga tempatan di dalam sebuah kereta jenis Proton Waja pada pukul 10.30 malam.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan di dalam kereta tersebut, polis menemui lima buah kotak yang keseluruhannya berisi 391,900 pil psikotropik.

"Susulan penahanan pasangan suami isteri terbabit, dua lagi lelaki yang salah seorang daripadanya warga India ditahan sejam kemudian di Putrajaya. Siasatan mendapati pil psikotropik yang dirampas telah diseludup masuk dari luar negara untuk pasaran tempatan," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Noor Rashid, pihaknya juga mendapati warga India yang ditahan merupakan dalang sindiket dadah dan pasangan suami isteri terbabit pula bertugas untuk mengedar pil-pil tersebut di pasaran tempatan.

Sementara itu, dalam serbuan di KLIA pada 10 malam 22 Jun lalu, beliau memberitahu, seorang lelaki warga Pakistan yang baru tiba dari luar negara ditahan selepas pihaknya menemui lapan bungkusan syabu bernilai 1.6 kilogram yang dibalut dan dilekatkan di bahagian betisnya.

"Lelaki itu dipercayai kali kedua masuk ke negara ini dan dipercayai menjadi keldai dadah untuk satu sindiket antarabangsa yang bekerjasama dengan sindiket tempatan," ujarnya.

Tambah Noor Rashid, kesemua suspek berusia antara 23 tahun hingga 42 tahun yang ditahan kini direman selama seminggu mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment