My Add

Wednesday 25 June 2014

Juruwang dakwa La Ode acu senapang ke arahnya

* LA Ode Ardi Rasila dibawa ke Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam.
SHAH ALAM, SELASA 24 Jun, 2014: Seorang juruwang AmBank cawangan Subang Jaya memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bekas pengawal keselamatan bank itu, La Ode Ardi Rasila mengacukan senjata api jenis pump gun ke arahnya ketika dia cuba melihat keadaan pegawai bank, Norazita Abu Talib yang terjatuh selepas ditembak.

Ifasri Wahyuni Mansur, 21, berkata, La Ode mengacukan senjata api itu dan mengarahkannya masuk ke dalam kaunter operasi di bahagian depan bank dan dia hanya menurut arahan tersebut.

Menurut wanita itu, pada waktu tersebut hanya ada empat kakitangan bank di dalam premis itu iaitu dia, Arzanna Abdullah, Norazita yang dipanggil sebagai Kak Ita dan seorang lagi kakitangan bernama Laila Azwa serta seorang pengawal keselamatan iaitu La Ode.

Saksi pendakwaan kesembilan itu berkata demikian ketika memberi keterangan pada hari kedua perbicaraan terhadap La Ode, 36, yang merupakan warga Indonesia yang menghadapi tuduhan membunuh dan melepaskan tembakan terhadap Norazita, 37.

La Ode didakwa membunuh Norazita di dalam bangunan AmBank, No. 5 & 7 Jalan Sentral 2, USJ Sentral, Subang Jaya, dekat sini di antara pukul 6 petang dan 6.30 petang 23 Oktober 2013.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori.

Dia turut didakwa melakukan rompakan dan melepaskan tembakan menggunakan senjata api jenis pump gun dengan niat menyebabkan kematian kepada pegawai AmBank itu pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Bagi pertuduhan itu, La Ode didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang turut membawa hukuman mati.

Menurut Ifasri, sebelum kejadian itu, sekitar pukul 6 petang, 20 Oktober 2013, dia yang berada di kaunter operasi terdengar bunyi kuat dan setelah pusing ke bahagian belakang, dia mendapati banyak asap keluar dari bilik simpanan wang (bilik kebal).

"Saya nampak Kak Ana (Arzanna) terjatuh dekat pintu bilik simpanan wang, Kak Ana minta saya tengokkan keadaan Kak Ita, ketika saya cuba melihat Kak Ita, La Ode mengacukan pump gun kepada saya," ujarnya.

Selepas menurut arahan La Ode supaya masuk ke kaunter operasi, saksi berkata, Arzanna sekali lagi memintanya pergi melihat keadaan Norazita.

"Saya sekali lagi ke bilik simpanan wang dan nampak La Ode sedang mengambil sebuah beg hitam dan pump gun sebelum pergi dari situ.

"Kemudian saya lihat Kak Ita masih bergerak, dia berpusing ke arah saya dan Laila Azwa, kemudian rebah dan tidak bergerak lagi," katanya sewaktu pemeriksaan utama oleh Ketua Unit Pendakwaan Selangor, Mohd. Azari Harun yang mengendalikan pendakwaan bersama Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Asyraf Md. Kamal.

Ketika ditanya sama ada tertuduh berperangai pelik pada hari kejadian, Ifasri berkata, La Ode bertanyakan beberapa soalan pelik kepadanya.

"Saya sedang membuat fotokopi di bahagian belakang bank, dia tanya saya soalan seperti, pukul berapa nak balik? Lambat lagi ke nak siap? sebab katanya, dia ada kerja nak buat," kata saksi itu.

Menurut Ifasri, perbualan itu berlaku kira-kira 10 minit sebelum dia terdengar bunyi tembakan dari bilik simpanan wang.

Saksi itu juga kemudian mengecamkan La Ode sebagai lelaki di dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bank yang ditayangkan di mahkamah.

Ketika sesi soal balas, peguam bela S. Selvi yang mewakili La Ode mencadangkan kepada saksi itu, soalan yang diajukan oleh anak guamnya kepada Ifasri tidak pelik kerana La Ode telah bekerja di Telekom di Seksyen 33 sejak pukul 7 malam hingga 7 pagi sebelum bekerja di AmBank pagi yang sama.

Saksi bagaimanapun tidak bersetuju dengan cadangan peguam itu.

Selvi turut mencadangkan, selepas tertuduh lari dari bilik simpanan wang, dia terjumpa saksi bersama Laila Azwa dan Laila Azwa ada bertanya kepada lelaki itu kenapa dia buat begitu dan tertuduh menjawab "Saya tak tahu".

Ifasri turut tidak bersetuju dengan cadangan itu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir bersambung esok. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment