My Add

Wednesday 25 June 2014

10,007 kes tibi dikesan hingga Mei lalu

 S . Subramaniam
KUALA LUMPUR, SELASA 24 Jun, 2014; Sebanyak 10,007 kes penyakit tibi dilaporkan sepanjang tahun ini di seluruh negara sehingga Mei lalu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 1,439 kes tibi dikesan melibatkan warganegara asing manakala sejumlah 8,568 kes melibatkan warganegara Malaysia.

"Sejak lima tahun kebelakangan ini, kita menyaksikan peningkatan kes tibi pada kadar enam hingga 14 peratus setahun. Malah, kejadian ini dirumitkan lagi dengan kewujudan kes-kes tibi yang kebal (resistan) kepada ubat-ubatan sedia ada.

"Oleh itu, kementerian akan bertanggungjawab menyediakan peruntukan yang mencukupi untuk pembelian ubat-ubatan bagi memastikan pesakit yang kronik dapat dirawat hingga pulih serta mencegah penularan kepada orang ramai," katanya.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Chin Su Phin berkenaan langkah proaktif Kementerian Kesihatan menangani penyakit tibi yang semakin membimbangkan di Dewan Negara hari ini.

Subramaniam berkata, kementerian juga giat bekerjasama dengan Jabatan Imigresen dalam usaha membantu mengesan warga asing yang dijangkiti penyakit tibi.

"Sekiranya warga asing itu didapati mempunyai tanda penyakit tibi, permit kerja mereka tidak akan diluluskan dan mereka perlu dihantar balik ke negara asal," katanya.

Tambah beliau, untuk memperkukuhkan pengesanan awal kes tibi kebal, kementerian telah melaksanakan perancangan perolehan peralatan dan kapasiti diagnostik berteknologi tinggi agar pesakit dapat diberi rawatan segera dalam usaha mengawal penularan penyakit tibi jenis ini.

Beliau berkata, pengesanan kes tibi kebal sejak 2004 hingga 2013 adalah dalam lingkungan 0.3 hingga 1.3 peratus berbanding jumlah kes keseluruhan tahunan. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment