My Add

Wednesday 25 June 2014

Sultan Ibrahim tamatkan KMJ 858km

 * SULTAN Ibrahim Sultan Iskandar dan Raja Zarith Sofiah ceria bergambar dengan para peserta KMJ 2014 sepanjang Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2014 sempena Majlis Penutup KMJ 2014 di Dataran Mahkota, Kota Iskandar, Nusajaya, semalam. - UTUSAN/RAJA JAA FAR ALI
JOHOR BAHRU, SELASA 24 Jun, 2014: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menamatkan rombongan Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2014 sejauh 858 kilometer dengan memandu sendiri bas mewah ‘Prevost Marathon Coach’ apabila tiba di Dataran Mahkota Kota Iskandar, Nusajaya di sini hari ini.

Keberangkatan tiba Sultan Ibrahim disambut kira-kira 3,000 hadirin sebagai tanda sokongan usaha murni baginda yang melakukan lawatan ke 10 daerah di negeri itu sejak Sabtu lalu.

Yang turut berangkat Tuanku Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah; Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Shah serta putera dan puteri baginda.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin turut hadir ke majlis tersebut bagi menyambut kepulangan baginda yang berjaya menamatkan misi bertemu dengan segenap masyarakat negeri dalam kembara selama empat hari.

Yang turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri Johor, Tan Sri Mohamad Aziz; Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Ismail Karim dan Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli.

Dalam ucapannya, Mohamed Khaled berkata, melalui penganjuran program tersebut, hasrat tuanku untuk bersama-sama rakyat berjaya dilaksanakan apabila mendapat sambutan hebat di setiap destinasi yang dikunjungi.

Katanya, penganjuran program yang dilaksanakan setiap tahun ini membuktikan keprihatinan baginda dan kerabat diraja untuk bertemu rakyat secara lebih dekat.

"Kerajaan negeri yang sentiasa memberi sokongan padu terhadap program ini sejak kali pertama diperkenalkan kerana yakin banyak memberi manfaat kepada rakyat," katanya di sini.

Mohamed Khaled berkata, KMJ 2014 yang bertemakan ‘Gaya Hidup Sihat’ itu diharap mampu mencapai matlamatnya melalui penganjuran pelbagai pameran dan program kesihatan di setiap destinasi yang dikunjungi baginda.

"Kami berharap program kembara ke seluruh pelosok negeri ini dapat diteruskan dengan penyertaan yang lebih besar dan pelbagai acara baharu sebagai coretan penting sejarah Johor," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment