My Add

Tuesday 24 June 2014

'Emak, makan, minum' ungkapan Firdaus

Oleh FARABI SHEIKH SAID AL JABRI

SEREMBAN, ISNIN 23 Jun, 2014: "Emak, makan, minum," inilah tiga perkataan yang diungkap dalam nada tidak jelas oleh remaja orang kurang upaya (OKU), Muhammad Firdaus Dullah, 15, di atas katil wad kanak-kanak, Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini.

Ternyata apa yang diluahkan oleh remaja itu cukup menyentuh perasaan dan dia benar-benar amat merindui belaian kasih seorang ibu yang suatu ketika dahulu menyuapkan makan dan minumnya, apatah lagi semasa remaja itu duduk di atas kerusi roda.

Ungkapan itu didedahkan oleh Pengarah HTJ, Datuk Dr. Jaafar Che Mat tentang reaksi remaja itu semasa meninjau keadaannya sambil memberitahu bahawa Muhammad Firdaus hanya diberikan makan makanan lembut seperti roti dan air susu.

"Daripada pengamatan pihak hospital, kita dapat melihat cara Muhammad Firdaus makan sangat cepat (rakus), seolah-olah dia sudah lama tidak menikmati makanan. Pihak hospital memberikan makanan yang lembut kerana dibimbangi cara pemakanan itu boleh mengakibatkan masalah lain termasuklah sesak nafas andainya kuantiti yang diberikan berlebihan. Saya tidak dapat pastikan pada waktu ini sama ada dia diberikan makanan semasa ditinggalkan atau yang tidak berzat.

"Apa yang dapat saya jelaskan, remaja ini mungkin dapat bertahan disebabkan pergerakan yang terhad dan berhibernasi semasa ditinggalkan bersendirian di dalam rumah itu,'' katanya di sini hari ini.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas lawatan Yang Dipertua Persatuan Isteri-isteri Wakil Rakyat Negeri Sembilan (Pekerti), Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumuddin yang juga isteri Menteri Besar di sini hari ini.

Jaafar juga menjelaskan, berdasarkan pemeriksaan yang dilakukan terhadap remaja berkenaan, tiada sebarang kecederaan dan hanya luka disebabkan digaru sendiri tetapi tidak menolak Muhammad Firdaus telah didera dari segi emosinya.

Tambah beliau, pihaknya juga telah menghantar laporan awal kepada polis untuk menjalankan siasatan.

"Laporan penuh hanya akan dikemukakan selepas rawatan terhadap remaja malang itu selesai. Kita jangkakan berkemungkinan besar dia akan menerima rawatan sekurang-kurangnya lebih sebulan dan bergantung terhadap keupayaan remaja berkenaan kerana banyak lagi proses pemulihan akan dilakukan termasuklah dari segi fizikal dan emosi.

"Dari segi aspek kesihatan tubuh remaja itu, pihak hospital akan memberikan antibiotik, makanan berprotein, rawatan fisioterapi dan pemberian lemak memandangkan remaja berkenaan hanya mempunyai berat 15 kilogram ketika mula-mula dirawat di sini,'' katanya.

Jaafar juga menjelaskan Muhammad Firdaus ditempatkan di bilik berasingan untuk keselesaannya bersama-sama adik tirinya, Muhammad Haziq Jali, 7, selepas ibunya ditahan pihak polis bagi membantu siasatan. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment