My Add

Tuesday 24 June 2014

Rasai denyut nadi rakyat - PM

* NAJIB Tun Razak menyampaikan amanat pada Persidangan Pegawai-Pegawai Daerah 2014 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), semalam.
PUTRAJAYA, ISNIN 23 Jun, 2014: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu setiap pegawai daerah sentiasa turun padang bagi merasai denyut nadi rakyat dan bukan hanya berperanan sebagai pentadbir semata-mata.

Beliau berkata, pegawai daerah juga tidak boleh menganggap diri masing-masing sebagai ketua sebaliknya perlu sedar bahawa tanggungjawab utama mereka adalah membela rakyat selain memberi khidmat kepada setiap masyarakat tanpa mengira ideologi politik.

Malah beliau turut mengingatkan kepada setiap pegawai daerah supaya meletakkan diri mereka sebagai pemudah cara, rakan kongsi, pemimpin setempat dan boleh bersemuka dengan rakyat tidak kira masa.

"Jangan terlalu formal dan jangan terlalu protokol dan turunlah ke bawah, ular menyusur tidak akan hilang bisanya. Ini bukan tanggungjawab utama kepada menteri dan ahli politik sahaja tetapi sebagai pegawai pentabdir, kita juga perlu menghayati dan memahami apa sebenarnya kehendak rakyat.

"Kita juga tidak boleh kata kita ‘bos' yang mana orang lain mesti tunduk tetapi kita mesti letakkan diri sebagai pemimpin setempat dalam keadaan susah, senang, siang, malam, subuh, maghrib dan isyak yakni dalam setiap waktu jika boleh kerana kita adalah pemimpin sejati masyarakat," ujar Perdana Menteri.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Pegawai-Pegawai Daerah 2014 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; Timbalannya; Datuk Alexander Nanta Linggi; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa, Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ibrahim Muhamad dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal.

Sejajar dengan saranan tersebut, Najib turut menyatakan beberapa peranan utama yang perlu dilaksanakan oleh pegawai daerah sebagai penambahbaikan kepada tugas sedia ada.

Ujarnya, peranan-peranan tersebut adalah menjalinkan hubungan serta bersemuka dengan rakyat; berfungsi sebagai penyelesai masalah; memahami isu-isu semasa seperti cukai barangan dan perkhidmatan (GST) serta arif tentang isu-isu sensitif.

"Pegawai daerah mesti dekat dengan rakyat dan tujuan kita ini bukannya mahu menjadi wakil rakyat sebaliknya kita mahu memahami cita rasa mereka, apa di dalam hati dan minda rakyat serta sesuatu yang menjadi hambatan kepada mereka.

"Berilah apa-apa pandangan kepada pihak Menteri Besar, Ketua Setiausaha Kementerian, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) kerana kita mengetahui segala-gala yang berlaku di daerah," ujarnya.

Mengenai fungsi sebagai penyelesai masalah, Najib mengingatkan setiap pegawai daerah supaya bertanggungjawab terhadap tugas itu walaupun melibatkan sekecil-kecil isu seperti pelantikan ketua kampung.

"Pegawai daerah perlu menjadi orang yang boleh menyelesaikan masalah dan bukan membuat masalah terhadap apa-apa konflik walaupun isu paling bawah seperti hendak melantik ketua kampung," katanya.

Beliau berkata, adalah penting pegawai daerah mampu memberi nasihat dan pandangan yang akhirnya boleh menyelesaikan setiap masalah yang timbul.

Di dalam ucapannya Najib turut menekankan pentingnya pegawai daerah memahami isu-isu semasa antaranya langkah kerajaan memperkenalkan GST selain mengetahui mengenai sebarang perkara sensitif bagi satu-satu daerah.

"Pegawai daerah mesti faham isu ini dan mampu memberi penjelasan kepada rakyat tentang pelaksanaannya. Kita perlu terangkan kepada rakyat tujuan GST ini adalah untuk meningkatkan hasil negara, sekali gus akan memberi manfaat kepada rakyat termasuk yang tinggal di luar bandar.

"Kita perlu terangkan sekiranya hasil negara bertambah, pembangunan akan dapat diimbangi terutama antara bandar dan luar bandar. Sebab itu juga kita melaksanakan pembangunan secara inklusif," katanya.

Berhubung isu-isu sensitif, beliau menegaskan, antara perkara yang perlu diberikan perhatian oleh pegawai daerah ialah isu-isu berkaitan dengan tanah.

"Antaranya soal tanah adat, soal permohonan tanah kelompok dan ini tidak boleh dipandang ringan. Masalah tanah amat sensitif kepada rakyat, oleh itu pegawai daerah mesti berperanan untuk memberi nasihat jika timbul masalah tentang isu ini," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, pegawai daerah termasuk para residen di Sarawak adalah barisan hadapan kerajaan di peringkat akar umbi dan mereka bertanggungjawab terhadap pembangunan luar bandar secara holistik dan komprehensif sama ada dari sudut fizikal, ekonomi mahupun sosial.

"Mereka merupakan tonggak kepimpinan dan sebagai nadi penghubung antara kerajaan dan rakyat di peringkat daerah," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment