My Add

Wednesday 25 June 2014

Diesel bersubsidi bernilai RM18,000 dirampas

 * PENOLONG Pegawai Penguat kuasa PPDNKK Melaka, Haidzir Shah Hairudin memeriksa lori tiga tan yang diubah suai dalam aktiviti penjualan minyak diesel bersubsidi di Taman Perindustrian Bukit Rambai, Melaka, semalam.
MELAKA, SELASA 24 Jun, 2014: Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri merampas 9,000 liter diesel bersubsidi bernilai RM18,000 di sebuah stor penyimpanan di Taman Perindustrian Bukit Rambai di sini, semalam.

Dalam serbuan pukul 3 petang itu, seorang lelaki yang dipercayai pemandu lori juga penjaga stor berusia 60 tahun telah ditahan untuk siasatan lanjut.

Pengarahnya, Muhabir Ibrahim berkata, stor tidak berlesen itu dipercayai pernah menyimpan kira-kira 25,000 diesel pada satu-satu masa.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati sindiket tersebut menggunakan sebuah lori tiga tan dilengkapi tangki diubah suai bagi memuatkan sebanyak 3,000 liter diesel untuk mengelak kegiatan mereka dikesan.

"Mereka menggunakan lori tersebut bagi membeli diesel pada kuantiti 150 liter di beberapa stesen minyak di sekitar negeri ini.

"Diesel ini telah dibeli di stesen minyak pada harga RM2 seliter dan dijual antara RM2.40 dan RM2.80 seliter kepada sektor industri dan perkapalan.

"Kita percaya kegiatan itu dilakukan bagi mengaut keuntungan yang berlipat kali ganda," katanya ketika dihubungi.

Katanya, pemilik stor tersebut seakan tidak serik menjalankan kegiatan tersebut walaupun serbuan yang dilakukan adalah kali kedua selepas tahun lalu.

Muhabir berkata, kes tersebut disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan denda sehingga RM250,000 dan penjara tiga tahun jika sabit kesalahan. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment