My Add

Wednesday 25 June 2014

Yayasan Felda, IIP jalin kerjasama

 * MOHD. Isa Abdul Samad (tiga dari kiri) dan Emel Faizal Mohd. Mokhtar (kiri) berbual bersama pelajar yang menerima sijil pelajar cemerlang dalam Majlis Graduasi Kolej Yayasan Felda 2014 di Menara Felda, Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR, SELASA 24 Jun, 2014: Kolej Yayasan Felda (KYF) menjalinkan kerjasama dengan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari United Kingdom, Investor in People (IIP) bagi menggalakkan kemahiran pengurusan dan meningkatkan motivasi, budaya serta etika kerja dalam kalangan pekerjanya.

Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad berkata, menerusi kerjasama itu, IIP yang juga sebuah badan pengiktirafan modal insan akan menyediakan garis panduan serta rangka kerja untuk melatih dan membimbing pekerja Yayasan Felda khususnya dalam bidang pengurusan.

"Pengiktirafan IIP ini adalah satu nilai tambah kepada yayasan dalam usaha untuk terus memperbaiki budaya kerja dalam kalangan kakitangannya.

"IIP turut bekerjasama dengan pertubuhan antarabangsa lain termasuk City dan Guilds, TNT Express, Estee Lauder dan KPMG International," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Graduasi KYF sesi 1/2014 di Menara Felda, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengarah Besar Pembangunan Komuniti Felda, Ab. Ghani Mohd. Ali; Ketua Pegawai Eksekutif Felda Global Ventures Holding Berhad, Mohd. Emir Mavani Abdullah dan Ketua Eksekutif Yayasan Felda, Datuk Seri Dr. Emel Faizal Mohd. Mokhtar.

Terdahulu, Mohd. Isa menyerahkan sijil kepada 394 pelajar yang menamatkan pengajian di peringkat sijil masing-masing.

IIP berperanan membantu dan melihat mana-mana organisasi di seluruh negara yang layak untuk diberi pengiktirafan yang berkaitan dengan pengurusan.

Selain itu, IIP juga akan bertindak sebagai pakar motivasi serta memberi kritikan membina kepada yayasan untuk meningkatkan prestasi yang setaraf di peringkat global pada masa akan datang.

Sabtu lalu, Mohd. Isa mewakili Yayasan Felda menerima sijil permulaan kerjasama daripada Pengarah Operasi IIP, David Dale dalam satu majlis yang diadakan di Roof Garden di London.

Menurut Mohd. Isa, kerjasama berkenaan selaras dengan semangat yang dihasratkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam usaha menjamin generasi Felda serta melahirkan rakyat yang berkualiti dan bermutu tinggi.

"Kita harap IIP mampu mengorak langkah Yayasan Felda selain memberi tunjuk ajar yang progresif demi membawa nama yayasan ke peringkat antarabangsa selain dapat menghargai dan mengiktiraf pegawai dan pekerja kita.

"Ini antara kejayaan Yayasan Felda kerana menjadi organisasi pertama di negara ini yang menjalinkan kerjasama dengan IIP sekali gus mendapat pengiktirafan tersebut," jelasnya.

Sementara itu, mengulas kekecohan di Parlimen yang melibatkan segelintir warga Felda pada Rabu lalu, Mohd. Isa menyifatkan mereka seolah-olah dijadikan kuda tunggangan kepada pihak tertentu dan mungkin dipengaruhi oleh parti politik tertentu yang cuba memburuk-burukkan nama baik Felda.

"Jumlah keseluruhan peneroka kini mencecah hampir sejuta orang dan warga Felda yang menyertai demonstrasi terbabit hanya mahu menuntut lesen persendirian untuk menjual sawit daripada Lembaga Minyak Sawit Berhad (MPOB)," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment