My Add

Wednesday 25 June 2014

MIDA komited tarik pelaburan swasta

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
 
KUALA LUMPUR, SELASA 24 Jun, 2014: Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) terus komited untuk menarik pelaburan daripada sektor swasta supaya generasi masa depan dapat menikmati kehidupan yang lebih baik.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Azman Mahmud berkata, langkah itu dapat membantu Malaysia mencapai pertumbuhan ekonomi yang mapan pada masa hadapan.

Katanya, Malaysia dalam landasan yang tepat ke arah mencapai matlamat pertumbuhan ekonomi mapan berdasarkan pelaksanaan pelbagai dasar dan insentif yang bersesuaian sehingga meletakkan Malaysia di kedudukan keenam negara paling mesra dalam menjalankan perniagaan di dunia.

"Cabaran sentiasa ada tetapi kita harus atasi supaya menjadi negara yang lebih kondusif dari segi pelaburan," katanya selepas majlis pelancaran Laporan Pelaburan Dunia (WIR) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Penyelaras Re­siden Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Michelle Gyles-McDonnough dan Ketua Cawangan Isu dan Trend Pelaburan, Bahagian Pelaburan dan Enterprise PBB mengenai Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD), Dr. Masataka Fujita.

Laporan WIR UNCTAD 2014 menunjukkan Pelaburan Langsung Asing (FDI) global meningkat sembilan peratus kepada AS$1.45 trilion (RM4.66 trilion) pada tahun lalu selepas mencatat penurunan pada 2012. Ia dijangka terus mencatat pertumbuhan memberangsangkan bagi tahun seterusnya.

Berdasarkan laporan itu, rantau Asia terus menjadi destinasi utama pelaburan dengan mencecah hampir 30 peratus aliran masuk FDI pada tahun lalu.

Malaysia pula berada pada kedudukan ketujuh di rantau Asia di hadapan Korea Selatan, Vietnam dan Taiwan yang menyaksikan pe­ningkatan 22 peratus FDI bersih kepada AS$12 bilion (RM38.59 bilion).

Di peringkat ASEAN, FDI mencatat peningkatan tujuh peratus kepada AS$125.4 bilion (RM403.22 bilion) dengan Singapura menyaksikan penyertaan pelaburan paling besar.

Sementara itu, Michelle berkata, pada masa kini jurang pelaburan menyaksikan perbezaan sebanyak AS$1.5 trilion (RM4.82 trilion) antara negara maju dan negara membangun yang memerlukan komitmen semua pihak supaya matlamat ke arah pertumbuhan ekonomi mapan dapat dicapai.

Sepertimana yang dinyatakan dalam Laporan WIR UNCTAD 2014, katanya, keseluruhan pelaburan yang diperlukan negara memba­ngun bagi menyediakan kemudahan asas seperti air, jalan raya, janakuasa tenaga, pembinaan rel dan pelabuhan, jaminan makanan, pendidikan, kesihatan dan menangani perubahan cuaca dianggarkan memerlukan sehingga AS$4.5 trilion (RM14.47 trilion) setahun.

"Atas sebab itu, laporan ini mencadangkan supaya pelan tindakan dirangka bagi menggalakkan pelaburan swasta dalam sektor berkenaan memandangkan akan berlaku kekurangan dana dalam tempoh 15 tahun akan datang yang dijangka mencecah AS$2.5 trilion (RM8.03 trilion)" katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment