My Add

Wednesday 25 June 2014

44 murid sekolah keracunan makanan

 * MURID-murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pendang menerima rawatan lanjut di klinik Kesihatan Pendang, Alor Setar, semalam.
ALOR SETAR, SELASA 24 Jun, 2014: Seramai 44 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pendang terpaksa dikejarkan ke hospital setelah sakit perut dan muntah-muntah disyaki akibat keracunan makanan.

Menurut Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Ismail Abu Taat, kebanyakan pelajar tersebut mengadu mengalami simptom berkenaan selain demam setelah makan pada waktu rehat di kantin sekolah itu.

Katanya, kesemua pelajar itu dirawat di Wad Pediatrik, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini dan hanya seorang di sebuah hospital swasta atas permintaan keluarganya.

"Kesemua mangsa berusia sembilan hingga 12 tahun, kebanyakannya murid tahun lima dan enam," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ketua Jabatan dan Pakar Kecemasan dan Trauma HSB, Dr. Fatahul Laham Mohamad memberitahu, sebahagian murid masih ditahan di wad untuk rawatan manakala sebahagian lagi menerima rawatan sebagai pesakit luar bergantung pada tahap kesihatan mereka.

Mangsa, Mohammad. Nazrul Hakim, 12, memberitahu, dia menyedari sosej dan bebola ikan yang dimakannya agak masam ketika waktu rehat di kantin sekolahnya, kira-kira pukul 10.30 pagi.

"Tidak lama selepas itu, saya rasa pening dan dua kali muntah-muntah. Selain itu badan terasa sejuk," ujarnya.

Seorang lagi mangsa, Mohd. Syafiq Iman, 11, berkata, dia juga makan sosej berkenaan bersama nasi dan tidak lama kemudian pening serta muntah-muntah sehingga badannya menjadi lemah. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment