My Add

Wednesday 25 June 2014

Akta Harmoni: Pemuda UMNO serah memorandum

 
KUALA LUMPUR, SELASA 24 Jun, 2014: Pergerakan Pemuda UMNO akan menghantar memorandum kepada kerajaan yang mengandungi beberapa cadangan untuk dipertimbang dan dimasukkan sebagai perkara dalam Akta Keharmonian Nasional (Akta Keharmonian) untuk menggantikan Akta Hasutan 1948 (Akta Hasutan).

Ketuanya, Khairy Jamaluddin (gambar) berkata, memorandum tersebut turut menyatakan pendirian sayap UMNO itu agar beberapa perkara dikekalkan seperti yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu kedaulatan agama Islam, kedudukan istimewa orang Melayu serta bumiputera Sabah dan Sarawak, bahasa Melayu dan keistimewaan Raja-raja Melayu.

Menurut beliau, Pemuda UMNO mendesak agar Akta Harmoni menjadi perisai kepada isu-isu sensitif daripada ditimbulkan dan demi memberi perlindungan kepada seluruh rakyat Malaysia.

"Kami mahu apa-apa sahaja ucapan yang menghina agama atau mana-mana kaum mesti menjadi satu kesalahan di dalam rang undang-undang baharu itu nanti.

"Akta sebelum ini telah menjadi perisai kepada isu-isu sensitif ini justeru, semuanya perlu dikekalkan dan sesiapa sahaja mengeluarkan kenyataan yang ditujukan kepada mana-mana agama atau bangsa mestilah menjadi satu kesalahan," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Pemuda UMNO di sini hari ini.

Menurut Khairy, memorandum tersebut yang turut memberi cadangan mengenai hak kaum minoriti akan diperhalusi dalam mesyuarat sama bulan depan sebelum diserahkan kepada kerajaan. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment