My Add

Wednesday 25 June 2014

Lirik lagu Sudirman tema sambutan Hari Kemerdekaan Ke-57

PUTRAJAYA, SELASA 24 Jun, 2014: Salah satu baris lirik lagu Warisan, 'Malaysia.... Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta' dipilih menjadi tema sambutan Hari Kemerdekaan Ke-57.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, pemilihan tema daripada lagu yang dipopularkan oleh Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad itu dapat menyemai dan menyemarakkan semangat cintakan negara ke dalam jiwa rakyat.

"Saya percaya tema itu sangat signifikan bagi memberikan kesan mendalam dan melahirkan semangat kecintaan terhadap negara di dalam hati semua rakyat," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan majlis Prapelancaran Kemerdekaan Ke-57 di sini hari ini.

Yang hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi.

Pada majlis itu, Ahmad Shabery turut menyampaikan hadiah kepada pemenang utama pertandingan mencipta logo sambutan kemerdekaan kepada Abdul Mutalib Abdul Rahman yang membawa pulang RM7,000 dan sijil penghargaan.

Sementara itu, Ahmad Shabery berharap pemilihan tema tersebut tidak akan dipolitikkan oleh mana-mana pihak tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata, sambutan kemerdekaan yang membawa erti kepada rakyat negara ini sepatutnya tidak perlulah untuk dirosakkan.

"Perlulah direnung kembali, saya rasa tidak perlu untuk berbuat demikian kerana ini merupakan sambutan untuk rakyat mengingati kemerdekaan," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kementerian turut bekerjasama secara strategik dengan pelbagai pihak melibatkan agensi, antaranya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Putrajaya (PPj), Majlis Belia Malaysia (MBM) dan 1Malaysia for Youth (1M4U) untuk menyemarakkan sambutan kali ini.

Beliau menambah, kementerian turut mendapat kerjasama daripada sektor swasta seperti Celcom, TM Berhad, Telin Indonesia, Media Prima, Astro dan banyak lagi untuk menaja beberapa program sambutan kemerdekaan tersebut.

"Sambutan kemerdekaan bukanlah gerak kerja yang perlu dijalankan oleh kerajaan semata-mata, pihak swasta juga perlu turut serta untuk memainkan peranan dalam meningkatkan lagi semangat kecintaan tidak berbelah-bahagi terhadap negara.

"Secara tidak langsung sambutan kemedekaan ini dapat menjadi satu jenama popular yang tersemat di hati rakyat pada setiap masa dan bukan hanya diingati sebagai sebuah perarakan semata-mata," katanya.

Mengenai program sambutan kemerdekaan, beliau berkata, acara pertama bermula dengan Doa Untuk Malaysia pada 15 Ogos di Masjid Putra, Putrajaya, diikuti Kempen Kibar Jalur Gemilang yang dijadualkan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (16 Ogos).

Katanya, kemuncak sambutan pula adalah acara Perbarisan dan Perarakan Hari Kemerdekaan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 31 Ogos manakala sambutan Hari Malaysia pula di Sarawak (16 September).

Selain itu, beliau berkata, sambutan kali ini turut menampilkan Konsert Harmoni Uniti yang menggabungkan artis Malaysia dan Indonesia, simbolik kepada semangat kesatuan serantau antara kedua-dua negara kerana menyambut kemerdekaan pada bulan sama.

"Konsert Chow Kit Road 2.0 turut diadakan untuk menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan rakyat menerusi lagu-lagu Sudirman.

"Konsert selama tiga hari bermula 29 Ogos itu, dijadualkan berlangsung di Jalan Tuanku Abdul Rahman, anjuran stesen Radio Televisyen Malaysia (RTM) dengan kerjasama Astro dan Media Prima sebagai rakan strategik," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment