My Add

Tuesday 24 June 2014

Polemik akan berterusan - Hishammuddin

KUALA LUMPUR, ISNIN 23 Jun, 2014: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berpendapat, isu penggunaan kalimah Allah tidak akan terhenti walaupun Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Gereja Roman Katolik untuk menggunakan kalimah suci itu dalam The Herald hari ini.

Beliau berkata, sudah tentu isu tersebut akan terus menimbulkan polemik serta politiknya tersendiri akibat kerakusan mereka yang mungkin tiada pendedahan dan membuka mata mereka kepada dunia yang lebih luas.

"Kita berasa bersyukur dengan keputusan itu. Cuma saya berharap tiada pihak yang cuba mempolitikkan dan saya tekankan, mesti ada usaha yang cuba memecah-belah kita kerana dalam situasi sebegini, berlaku pertembungan.

"Pertembungan itu bukan sahaja antara agama, tetapi sesama agama. Kita telah melihat pertembungan agama yang begitu dahsyat sekali," katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Tahunan Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat) 2014 di Kementerian Pertahanan, di sini hari ini.

Yang turut hadir Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin.

Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan Gereja Roman Katolik untuk mendapat kebenaran merayu berhubung penggunaan kalimah Allah dalam majalah mingguan The Herald terbitan versi bahasa Melayu.

Panel tujuh hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria dalam keputusan majoriti 4-3 menolak permohonan itu.

Mengulas lanjut, Hishammuddin yang juga Naib Presiden UMNO menjelaskan, tiada gunanya rakyat negara ini berpecah kerana emosi, perbezaan politik dan polemik yang akhirnya memberi kesan kepada tiang-tiang seri yang menentukan survival bangsa, agama dan tanah air.

Mengambil perumpamaan ‘menang sorak, kampung tergadai’, beliau khuatir survival untuk generasi akan datang menjadi rapuh kerana kegagalan generasi sekarang memahami dan menangani perubahan-perubahan semasa.

"Perkara itu boleh terjadi dengan dunia tanpa sempadan kini yang membawa kaedah dengan sekelip mata untuk memecah-belah kita semua," katanya.

Kata beliau, isu-isu seperti kalimah Allah boleh memberi kesan kepada emosi rakyat dan menjejaskan negara, oleh itu semua pihak perlu menanganinya dengan kebijaksanaan dan menerima keputusan yang telah dibuat oleh mahkamah.

"Saya rasa perkara sebenarnya, kita tiada pilihan dan mahkamah telah membuat keputusannya. Semua perlu akur dengan keputusan ini," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment