My Add

Tuesday 24 June 2014

Perlu turun padang, beri komitmen tinggi selesai masalah akar umbi

 * SEBAHAGIAN pegawai daerah yang menghadiri Persidangan Pegawai-Pegawai Daerah 2014 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), semalam. - UTUSAN
PUTRAJAYA, ISNIN 23 Jun, 2014: Pegawai daerah perlu memberikan komitmen yang tinggi kepada kerajaan untuk membantu membangunkan masyarakat luar bandar.

Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ibrahim Muhamad berkata, komitmen itu akan terbina apabila pegawai daerah memberi tumpuan penuh kepada rakyat ketika berkhidmat.

Menurutnya, pegawai daerah perlu turun padang untuk bersama dengan rakyat dalam memberi tumpuan secara menyeluruh bagi menyelesaikan masalah di peringkat akar umbi.

"Pegawai daerah perlu melakukan pendekatan secara bersemuka dengan rakyat untuk mengetahui keperluan demi kesejahteraan kehidupan mereka.

"Secara tidak langsung, pegawai daerah dapat memperoleh input daripada bawah untuk disalurkan kepada pihak pentadbir negeri dan Persekutuan bagi membolehkan sebarang keputusan dapat dibuat bersandarkan maklumat yang diberi," katanya.

Beliau ditemui selepas menghadiri Persidangan Pegawai-Pegawai Daerah 2014 yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; Timbalannya; Datuk Alexander Nanta Linggi; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal.

Ibrahim berkata, selaras dengan peredaran masa, pegawai da-erah perlu menyesuaikan cara kerja dengan bersikap mudah mesra dan tidak terlalu meninggi diri.

"Dalam keadaan sekarang pegawai daerah perlu memudahkan urusan apabila berhadapan dengan rakyat dan bukannya menyusahkan atau menyulitkan mereka," katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, pegawai daerah perlu memberi layanan kepada rakyat secara saksama tanpa mengambil kira ideologi politik seseorang ketika menyampaikan khidmat di peringkat akar umbi.

Beliau berkata, pendekatan budaya kerja seperti itu amat diperlukan supaya bersama dengan kerajaan untuk membangunkan masyarakat luar bandar yang masih perlu diberi perhatian.

"Tidak kisahlah apa ideologi mereka, sebagai pegawai daerah kenalah memandang sama rata kepada rakyat sehinggalah mereka yang miskin pun perlu dibantu," katanya.

Beliau turut menekankan betapa pentingnya pegawai daerah memahami isu-isu semasa dan dasar kerajaan untuk disampaikan kepada masyarakat luar bandar.

Beliau memberi contoh mengenai isu cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang sememangnya memerlukan penjelasan menyeluruh kepada rakyat oleh pegawai daerah.

"Isu GST tidak boleh diterangkan secara berseloroh kerana orang ramai menganggap perkara ini sebagai suatu perkara serius.

"Oleh itu, pegawai daerah mesti faham akan sesuatu dasar, objektif dan tentang bagaimana dasar tersebut dapat memberi manfaat kepada rakyat," katanya.

Mengulas lanjut mengenai pe-nganjuran persidangan itu, beliau berkata, pihak kementerian akan sentiasa melakukan penambahbaikan pada masa akan datang.

Katanya, penambahbaikan tersebut termasuklah dengan menyenaraikan isu-isu terbaru yang perlu diberi perhatian oleh pegawai daerah.

"Persidangan ini sebenarnya sudah mula dilaksanakan dari 2007 dengan nama Seminar Pembangunan Daerah. Pada 2011, persidangan ini ditukar nama kepada Mesyuarat Penyelarasan Pembangunan Daerah dan dilaksanakan sebanyak dua kali pada 2012.

"Pada tahun ini, ia dikenali sebagai Persidangan Pegawai-Pegawai Daerah," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment