My Add

Wednesday 25 June 2014

Berat Firdaus bertambah 2kg

Oleh FARABI SHEIKH SAID AL JABRI

 * ROHANI Abdul Karim bersama Penyelia Jururawat, Finno Kaur Natar Singh melihat keadaan Muhammad Firdaus Dullah di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban, semalam. - UTUSAN/ASWAD YAHYA
SEREMBAN, SELASA 24 Jun, 2014: Ke­adaan kesihatan Muhammad Firdaus Dullah, 15, remaja orang kurang upaya (OKU) malang yang ditinggalkan berseorangan dalam ke­adaan menyedihkan di Flat Taman Semarak, Nilai dekat sini Sabtu lalu, menunjukkan perkembangan positif apabila berat badannya bertambah sebanyak dua kilogram.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Abdul Karim memberitahu, beliau gembira dengan pertambahan berat badan Muhammad Firdaus kerana ketika remaja itu ditemui oleh Jabatan Imigresen, beratnya hanya 15 kilogram.

Malah kata Rohani, remaja berkenaan sudah mula duduk selain memberikan respon lain yang memberangsangkan ketika beliau melawatnya lebih 20 minit di Wad Kanak-Kanak Hospital Tuanku Ja’afar dekat sini hari ini.

"Ini sesuatu yang cukup menggembirakan, kita jangkakan perkembangan positif ini akan berterusan kerana banyak lagi sesi rawatan meliputi fisioterapi dan emosi akan dijalankan sebelum kanak-kanak ini diserahkan kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk jagaan sementara," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Kira-kira pukul 2.30 petang Sabtu lalu, Muhammad Firdaus ditemui dalam keadaan tubuhnya kurus kering, kotor, hanya memakai baju T yang sudah koyak dan reput serta berlumuran najis di Flat Taman Semarak oleh sepasukan anggota Jabatan Imigresen Negeri Sembilan yang melakukan Operasi Bersepadu 6P bagi memburu pendatang asing tanpa izin.

Dalam perkembangan berkaitan, Rohani menjelaskan, pihak JKM kini giat menjalankan proses dokumentasi remaja berkenaan bagi membolehkan dia mendapat semua kemudahan dan diberikan haknya sebagai OKU.

Ujarnya, setakat ini pihaknya hanya mempunyai sijil kelahiran remaja itu namun dia tidak mempunyai kad pengenalan dan kad OKU.

Ditanya mengenai terdapatnya unsur pengabaian dalam kes itu, Rohani memberitahu, berdasarkan kepada kenyataan Pengarah Imigresen negeri, Faizal Fazzri Othman pihaknya melihat memang ada unsur berkenaan dilakukan oleh ibunya.

"Kesalahan ini termaktub dalam Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak kerana mengabaikan remaja berkenaan dan sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM20,000 atau 10 tahun penjara atau kedua-duanya sekali. Kertas siasatan mengenainya telah pun dibuka," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment