My Add

Wednesday 25 June 2014

Program Sekolah Amanah perlu dikembangkan

 * MUHYIDD Yassin beramah mesra dengan murid dan guru ketika melawat kelas Program Sekolah Amanah anjuran Yayasan AMIR di Sekolah Kebangsaan Tabuan, Kuching, Sarawak, semalam. - BERNAMA
KUCHING, SELASA 24 Jun, 2014: Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap Yayasan AMIR dan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dapat berganding bahu dengan Kementerian Pendidikan memperluaskan program Sekolah Amanah ke sekolah-sekolah lain di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, program berkenaan bukan sahaja perlu dikembangkan di banyak sekolah tetapi programnya juga perlu dipastikan sentiasa mapan dan berterusan agar kaedah yang digunakan dapat dipraktikkan di sekolah lain.

Beliau yang juga Menteri Pendidikan berkata, Sekolah Amanah harus dilihat sebagai satu inisiatif utama dalam menghadapi cabaran pembangunan pendidikan negara pada masa kini yang berada di gelombang ketiga iaitu era transformasi.

Katanya, gelombang pertama berlaku selepas negara mencapai kemerdekaan dan gelombang kedua pula melibatkan cabaran membina pemodenan negara dalam konteks pembangunan perindustrian.

Katanya, meskipun setiap gelombang itu cabarannya berbeza-beza namun matlamat kerajaan adalah satu iaitu membangunkan sistem pendidikan negara yang berkualiti dan holistik kepada guru serta para pelajar.

"Kajian yang dilakukan menerusi Persidangan Sekolah Amanah di Kuching baru-baru ini mendapati ibu bapa dan komuniti yang terlibat dalam Sekolah Amanah dilihat lebih terdorong untuk terlibat dalam program pembelajaran di dalam bilik darjah.

"Hasil kajian itu adalah selari dengan agenda dan inspirasi yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Negara 2013-2025 yang saya umumkan baru-baru ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Sekolah Amanah Sarawak di Sekolah Kebangsaan (SK) Tabuan, Jalan Pending di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Lembaga Pengarah Amanah Yayasan AMIR merangkap Penasihat Pendidikan Khazanah, Datuk Noor Reza Bapoo Hashim; Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar II negeri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga negeri, Datuk Fatimah Abdullah.

Sekolah Amanah ditubuhkan menerusi perkongsian awam dan swasta dengan matlamat Kementerian Pendidikan untuk mempertingkatkan prestasi pelajar secara holistik serta menambah baik pengurusan sekolah serta memperbaiki kurikulum agar selari dengan penyampaian pendidikan. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment