My Add

Tuesday 24 June 2014

Garis panduan menentang tipuan bida dilancar

Oleh JUANI MUNIR ABU BAKAR

PUTRAJAYA, ISNIN 23 Jun, 2014: Garis Panduan Menentang Tipuan Bida Dalam Perolehan Awam yang dilancarkan hari ini merupakan usaha negara untuk memerangi ketirisan pemberian tender sesebuah projek kerajaan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek berkata, amalan tipuan bida merupakan ancaman besar negara kerana aktiviti itu menyebabkan nilai projek menelan kos yang tinggi kerana wujud pakatan sulit.

Katanya, pakatan sulit itu memberi keutamaan kepada nilai bidaan tertinggi untuk meluluskan sesebuah tender kerajaan.

"Tipuan bida merupakan satu kesalahan serius kerana aktiviti itu menelan kos yang tinggi, seterusnya menyusutkan dana awam dan mengurangkan persaingan.

"Memandangkan pembangunan negara melibatkan dana awam, seharusnya ketelusan pemberian tender kerajaan perlu dititikberatkan dengan memberi penekanan kepada saingan terbuka, akauntabiliti awam dan pengurusan secara telus," katanya ketika berucap dalam majlis pelancaran Garis Panduan Menentang Tipuan Bida Dalam Perolehan Awam dan buku Help Us Detect Rid-Ridding di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan timbalannya, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Azmi Lateh dan Pengerusi Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), Tan Sri Siti Norma Yaakob.

Hasan memberitahu, garis panduan itu merupakan komitmen kerajaan dalam usaha membanteras antipersaingan, selaras visi negara untuk memantapkan ekonomi.

Ujarnya, garis panduan tersebut mengandungi penjelasan tentang beberapa jenis tipuan bida yang boleh dilakukan oleh pembida, selain membantu mengesan aktiviti terlarang tersebut.

Beliau menjelaskan, pihak yang mengendali sesuatu projek seharusnya amanah ketika menjalankan tugas dengan mengambil langkah pencegahan untuk mengelak dan menghalang pakatan antara pembida dengan tipuan bida di dalam sesuatu projek awam.

"Pendekatan proaktif boleh membawa kepada peningkatan dalam penjimatan, seterusnya meningkatkan belanjawan dan reputasi sektor awam.

"Saya berharap usaha ini diteruskan dengan menganjurkan program-program kesedaran dan pendidikan bagi memastikan semua pihak mendapat maklumat yang sewajarnya," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment