My Add

Wednesday 25 June 2014

Misi perdagangan Matrade ke Turki jana jualan RM99j

KUALA LUMPUR. SELASA 24 Jun, 2014: Delegasi perniagaan yang diketuai oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) ke Istanbul, Turki dari 10 hingga 14 Jun lalu, membabitkan 17 syarikat tempatan berkaitan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) berjaya menjana jualan sebanyak RM99 juta.

Misi perdagangan itu yang memfokuskan perniagaan berkaitan kandungan multimedia kreatif (CMC), berjaya meraih beberapa peluang perniagaan terutama aplikasi peranti pintar, modul pendanaan dan perakunan, penyelesaian keselamatan, penyelesaian perkhidmatan insurans, aplikasi e-Kerajaan, rumah pintar, perkhidmatan teknologi maklumat, penerbitan digital dan animasi.

Pesuruhjaya Perdagangan Matrade di Istanbul, Idzham Abdul Hamid berkata, kebanyakkan syarikat Turki berminat untuk menjalin ikatan perniagaan dengan syarikat-syarikat tempatan, memandangkan Malaysia merupakan negara berpotensi tinggi untuk mengadakan sebarang kerjasama.

"Syarikat-syarikat tempatan perlu mengambil usaha ini dan menjadikan Turki sebagai pintu masuk ke pasaran Eropah Timur, Asia Barat dan negara Balkan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jelas beliau lagi, syarikat-syarikat tempatan juga harus menerokai sepenuhnya sektor ICT Turki khususnya berkaitan perbankan, kewangan, insurans selain segmen-segmen baharu seperti aplikasi telefon pintar dan animasi. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment