My Add

Tuesday 24 June 2014

'Tabung Adik Firdaus' ditubuh

 
*SHAHRIZAT Abdul Jalil menitiskan air mata sebak melihat keadaan Muhammad Firdaus Dullah ketika melawat kanak-kanak itu di Hospital Tunku Jaafar, Seremban, Negeri Sembilan, semalam. Turut kelihatan Raja Salbiah Tengku Nujumuddin (kanan). - UTUSAN/Abd. Razak Aid
SEREMBAN, ISNIN 23 Jun, 2014: Nasib remaja orang kurang upaya (OKU), Muhammad Firdaus Dullah, 15, yang ditemui dalam keadaan tragik dan menyayat hati pagi Sabtu lalu mendapat perhatian Pergerakan Wanita UMNO menerusi Skuad Sayang Wanita UMNO dengan menubuhkan Tabung Adik Firdaus hari ini.

Ketuanya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, tabung yang dilancarkan ini akan diselaraskan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri bagi memudahkan orang ramai ataupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memberikan sumbangan kepada remaja malang itu.

Katanya, buat permulaan ini, beliau sendiri telah menghulurkan sumbangan RM2,000 manakala RM2,000 lagi disumbangkan oleh isteri Menteri Besar, Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumuddin selaku Yang Dipertua Persatuan Isteri-isteri Wakil Rakyat Negeri Sembilan (Pekerti).

"Kita akan menggerakkan seluruh ahli untuk membantu mangsa dan segala sumbangan ini boleh disalurkan kepada JKM atau di peringkat UMNO bahagian untuk diselaraskan.

"Dari segi pengurusan sumbangan ini nanti akan diurus tadbir oleh JKM negeri bagi tindakan selanjutnya berdasarkan kepada keperluan remaja berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat remaja berkenaan di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) bersama-sama Raja Salbiah di sini.

Turut ditempatkan bersama-sama Muhammad Firdaus di wad kanak-kanak hospital berkenaan ialah adik tirinya, Muhammad Haziq Jali, 7, selepas ibunya ditahan reman oleh polis bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.

Shahrizat juga menjelaskan Pergerakan Wanita UMNO bersedia untuk menjadikan remaja berkenaan sebagai anak angkat bagi memastikan kebajikannya sentiasa terpelihara dan dijaga rapi.

Beliau turut melahirkan rasa kesal tentang sikap ibu bapa, selain masyarakat setempat yang disifatkan tidak mengambil tahu tentang nasib remaja berkenaan sehingga dibiarkan berada dalam keadaan cukup menyayat hati.

"Remaja ini bukan duduknya di kawasan terpencil tetapi dia tinggal di flat yang ada penduduk setempat di situ. Ini bukan sahaja kecuaian ibu bapa tetapi melibatkan masyarakat," jelasnya.

Sementara itu, keadaan Muhammad Firdaus semakin stabil, namun dia hanya memalingkan muka ketika beberapa jurugambar mengambil gambar bersama-sama pelawat dan tetamu yang menziarahinya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment