My Add

Tuesday 24 June 2014

JKM diarah jejaki Dullah

 
KUCHING, ISNIN 23 Jun, 2014: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim telah mengarahkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) supaya mengesan bapa Muhammad Firdaus Dullah sebaik mengetahui berita penemuan remaja orang kurang upaya (OKU) itu, Sabtu lalu.

Beliau berkata, arahan mencari bapa remaja itu dikeluarkan kepada JKM di seluruh negara, ekoran lelaki terbabit diperlukan untuk menjalankan proses dan urusan hak penjagaan serta dokumentasi.

Katanya, beliau telah mengeluarkan arahan tersebut kepada Ketua Pengarah JKM, Datuk Norani Mohd. Hashim dan Pengarah JKM Negeri Sembilan, Abdullah Hanapi melalui panggilan telefon.

"Saya memaklumkan kepada mereka (Norani dan Abdullah) supaya mencari ibu, ayah, keluarga atau waris remaja OKU yang berusia 15 tahun itu dengan segera.

"Langkah ini bukan hanya untuk tindakan lanjut oleh kementerian, malah bertujuan membantu pihak polis menjalankan siasatan," katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan dan menyerahkan cenderamata kepada 20 pesakit kanak-kanak di Wad Pediatrik Hospital Umum Sarawak (HUS) di sini hari ini.

Kelmarin, Muhammad Firdaus ditemui Jabatan Imigresen Negeri Sembilan dalam keadaan menyayat hati di dalam sebuah bilik ketika melakukan Operasi Bersepadu 6P bagi memburu pendatang asing tanpa izin (PATI) di Flat Taman Semarak, Nilai.

Mengulas lanjut Rohani berkata, pihaknya tidak boleh membuat sebarang keputusan untuk menyerahkan Muhammad Firdaus kepada mana-mana pihak luar termasuk bekas pengasuh remaja OKU itu selagi belum menemui bapa atau ahli keluarganya.

Katanya, langkah itu bagi mengelakkan sebarang pertindihan atau masalah lain yang mungkin berlaku sekiranya JKM menyerahkan remaja OKU berkenaan kepada keluarga angkat. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment