My Add

Wednesday 25 June 2014

Mara teruskan perjuangan lahir usahawan kelas dunia

 * MAHZAN Atan (duduk, empat dari kiri) bersama jawatankuasa penganjur Persidangan Kajian Tindakan Nasional di Jalan Hang Tuah, Melaka, semalam. - UTUSAN/Mohammad Dzulhisham Che Hassim
MELAKA, SELASA 24 Jun, 2014: Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan meneruskan perjuangannya untuk melahirkan usahawan kelas dunia yang bukan sahaja berilmu dan berkemahiran malah lengkap dengan ciri-ciri modal insan yang menjadi contoh kepada masyarakat.

Pengarah Bahagian Pengajian Tinggi Mara, Mahzan Atan, berkata, matlamat itu selaras dengan falsafah pendidikan Mara iaitu mempergiatkan usaha berterusan menerusi ilmu, teknologi dan nilai keusahawanan yang diterapkan kepada penuntut di Institusi Pendidikan Mara (IPMa) seluruh negara.

Menurutnya, IPMa memberi peluang kedua kepada pelajar yang gagal melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi dan yang meminati jurusan vokasional kerana hampir semua pusat pengajiannya memberikan tumpuan kepada aspek kemahiran.

"Hasrat Mara adalah untuk melihat ramai usahawan Mara menerajui industri penting bukan sahaja dalam negara malah di luar negara kerana ilmu kemahiran yang ditawarkan di IPMa merangkumi bidang-bidang penting yang memenuhi kehendak pasaran kerja," katanya.

Turut hadir, Pengarah Institut Antarabangsa Latihan Keguruan Mara, Rohizan Abdul Ghani dan Pengarah Mara negeri, Dr. Azmi Amat Murjan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Kajian Tindakan Nasional (NARC 2014) di Jalan Hang Tuah, di sini hari ini.

Pada persidangan itu, seramai 350 peserta dari seluruh negara mengambil bahagian yang terdiri daripada tenaga pengajar IPMa termasuk Kolej Profesional Mara, Kolej Kemahiran Tinggi Mara, Pusat GiatMara, Maktab Rendah Sains Mara dan Universiti Teknologi Mara.

Mahzan berkata, persidangan yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini akan membentangkan 70 kertas kerja yang mana 39 daripadanya kertas kerja kajian tindakan.

Menurutnya, salah satu objektif persidangan itu adalah untuk mempersiapkan golongan pendidik IPMa dengan ilmu dan kemahiran supaya dapat menjadi tenaga pengajar yang berkualiti agar ilmu yang dicurahkan kepada penuntut institusi itu lebih berkesan dan efektif.

"Pada persidangan ini kita kumpulkan semua tenaga pengajar di IPMa untuk berkongsi buah fikiran dan pandangan mengenai usaha yang perlu dilaksanakan bagi meningkatkan mutu perkhidmatan seterusnya memperkasakan penuntut institusi pendidikan di bawah Mara," katanya.

Tambahnya, persidangan yang pertama kali dianjurkan itu akan menjadi nilai tambah kepada seluruh warga Mara yang terlibat yang kesannya dapat diukur melalui pencapaian cemerlang penuntut di IPMa kelak. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment