My Add

Wednesday 23 November 2011

4,000 Kampung Tanpa Wayar akhir tahun 2012

KUALA LUMPUR, RABU. 23 November, 2011: 
KIRA-KIRA 4,000 Kampung Tanpa Wayar (KTW) akan diwujudkan di seluruh negara sehingga akhir tahun depan.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, setakat ini terdapat 1,400 KTW di Perlis, Sabah dan Sarawak.

"Bagi memastikan penduduk luar bandar menikmati kemudahan Internet, kita sedang dalam proses untuk membina menara elektronik di Sabah dan Sarawak.
"Ini selaras dengan usaha kerajaan untuk meluaskan kemudahan teknologi kepada semua rakyat.

"Pada masa yang sama, kita akan beri peluang untuk usahawan kecil dan sederhana mendaftar dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menerusi dalam talian bagi menjalankan projek ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas majlis pelancaran 'Dapatkan Perniagaan Dalam Talian Malaysia' anjuran Google Malaysia di sini, semalam.

Sementara itu, beliau berkata, purata kos yang diperlukan untuk membangunkan kemudahan WiFi di kawasan tersebut adalah sekitar RM25,000 sehingga RM35,000.

"Kampung yang terlibat akan disediakan dengan sistem komputer biasa dengan kemudahan jalur lebar percuma untuk tiga bulan pertama dan selepas itu dikenakan bayaran minimum RM10 sebulan," jelasnya.

Mengulas mengenai perniagaan dalam talian, Rais berkata, bagi meningkatkan penjualan produk dan perkhidmatan, medium Internet adalah penting untuk meningkatkan lagi pencapaian perniagaan.

Dalam pada itu, Rais turut mengulas mengenai aduan yang melibatkan jenayah dalam talian iaitu penipuan transaksi kredit.

"Aduan tidak banyak diterima mengenai jenayah membabitkan transaksi dalam talian di negara ini.

"Bagaimanapun, apabila Akta Perlindungan Data Peribadi Malaysia 2010 berkuat kuasa tahun depan, saya fikir perniagaan seperti ini akan lebih dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan dan malahan adalah lebih baik daripada sebelum ini," jelasnya. - Utusan Malaysia.

No comments:

Post a Comment