My Add

Wednesday 23 November 2011

RM21.16 juta barang tiruan, cetak rompak dirampas

ISMAIL Sabri menyampaikan hadiah kepada johan Pertandingan Kreatif Lukisan Cat Air GGCR 2011, Azimuddin Abd. Manaf pada majlis penutup program Rakan Gerak Gempur Cetak Rompak di Universiti Lim Kok Wing, Cyberjaya, semalam.

CYBERJAYA, RABU, 23 November, 2011: 
SEHINGGA Oktober tahun ini, sebanyak 647 kes disiasat berhubung kesalahan cetak rompak dan barang-barang tiruan dengan nilai rampasan berjumlah RM21.16 juta.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, 490 melibatkan kes cetak rompak (RM10.13 juta) dan 157 kes lagi melibatkan barangan tiruan dengan rampasan RM11.13 juta.

Beliau berkata, statistik menunjukkan terdapat penurunan kes berbanding tahun lalu iaitu 3,571 kes cetak rompak dan barang-barang tiruan dengan nilai rampasan RM48.8 juta.

"Penurunan siasatan kedua-dua kes disebabkan keberkesanan hasil operasi yang dijalankan bahagian penguat kuasa dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan.

"Pelbagai kempen yang dianjurkan oleh kementerian juga telah menampakkan hasil dalam menyedarkan masyarakat agar memilih barangan yang tulen untuk kegunaan seharian," katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Terdahulu Ismail Sabri menutup Program Gerak Gempur Cetak Rompak peringkat institusi pengajian tinggi (IPT) di Universiti Limkokwing.

Program Rakan Gerak Gempur Cetak Rompak peringkat IPT bertujuan memberi pendedahan dan kesedaran di kalangan pelajar agar lebih peka terhadap tanggungjawab sosial setiap individu dalam membanteras kegiatan cetak rompak dan penjualan barangan tiruan daripada terus berleluasa.

Menurut Ismail Sabri, kejayaan mengekang kegiatan cetak rompak dan barangan tiruan itu juga hasil serbuan dan pengawasan ketat yang dilakukan di 100 buah kawasan panas yang telah dikenal pasti menjadi pusat operasi cetak rompak dan barangan tiruan.

Kedai Rakyat 1M di semua IPT

Seementara  itu, AZRINA AYU RADUIAN  nelaporkan semua institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini akan menikmati kemudahan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) dan Menu Rakyat 1Malaysia yang akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat.

Menurut Ismail Sabri, usaha ini akan diteruskan ke seluruh IPT bagi memastikan pelajar turut mendapat kemudahan yang disediakan oleh kerajaan.

“Kita sedia maklum pelajar juga menghadapi perbelanjaan yang tinggi dan tidak terkecuali daripada menanggung kos sara hidup yang membebankan.

“Justeru, adalah menjadi keutamaan kerajaan untuk meneruskan usaha membantu rakyat termasuk penuntut universiti,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Ismail mengulas cadangan penuntut di IPT yang meminta kerajaan menimbang mewujudkan KR1M dan Menu Rakyat 1Malaysia di setiap kampus universiti.

Cadangan tersebut terkandung dalam kertas kerja Mesyuarat Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK).

Beliau berkata, pihaknya kini sedang berbincang dengan pihak universiti, termasuk Naib Canselor untuk melaksanakan cadangan itu dengan segera.

“Kita akan bekerjasama dengan koperasi dan kafe di IPT untuk meletakkan produk-produk KR1M dan memperkenalkan menu rakyat tersebut.

“Ini bagi memastikan pelajar turut mendapat manfaat daripada usaha yang dilaksanakan kerajaan iaitu mendahulukan rakyat,” katanya.






No comments:

Post a Comment