My Add

Wednesday 23 November 2011

Tiada niat langgar peraturan

KUCHING, RABU, 23 November, 2011: 
PENGANJUR Miss Borneo 2011 tidak berniat untuk melanggar peraturan apabila menerima penyertaan lima gadis Islam dalam pertandingan ratu cantik itu baru-baru ini.

SAIFUL HAIZAN HASAM memetik pengasas Syarikat Alaric's Productions, Alaric Soh sebagai berkata, beliau tidak menjangka perkara itu mencetuskan kontroversi kerana pertandingan ratu cantik lain yang dianjurkan sebelum ini seperti Miss World Harvest turut disertai gadis Islam dan tidak berdepan sebarang masalah.

Beliau yang sudah 23 tahun menganjurkan pertandingan ratu cantik berkata, Miss Borneo pernah menampilkan dua peserta Islam pada 2009 diikuti empat orang pada tahun lalu, namun tiada isu yang berbangkit.

"Secara jujur saya ingin menegaskan tiada masalah dan akan mematuhinya jika ada peraturan yang jelas.

"Saya tidak bermaksud untuk menentang sesiapa dalam hal ini, saya fikir tidak menjadi kesalahan untuk menampilkan gadis Islam," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini. semalam.

Khamis lalu, Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) memanggil lima peserta Miss Borneo 2011 yang beragama Islam untuk sesi kaunseling selepas dikatakan berpakaian menjolok mata dalam gambar promosi acara itu.

Bagaimanapun, lima peserta terbabit, Melatie Mellisa, 22; Adira Kamil, 23; Sharifah Nadzirah Wan Hamid, 23; Roszainah Suhaili, 21, dan Natasha Nur Amarina Mohamad Kaie, 21, meneruskan penyertaan mereka pada pertandingan itu dan memakai pakaian yang juga menjolok mata.

Mengulas lanjut, Alaric berkata, sejurus selepas sesi kaunseling bersama JAIS, beliau sebagai penganjur telah memberi peringatan kepada lima peserta terbabit supaya membuat keputusan sewajarnya.

Katanya, beliau tidak memaksa mereka supaya meneruskan persaingan, sebaliknya menyerahkan kepada peserta terbabit sama ada untuk menarik diri atau tidak.

Dalam perkembangan berkaitan, Alaric meminta kerjasama media supaya tidak memperbesarkan isu berkenaan kerana beliau khuatir ia memberi tekanan emosi dan psikologi kepada lima peserta terbabit memandangkan mereka masih muda.

Tambahan pula, katanya, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam), Datuk Ir. Daud Abdul Rahman telah membuat kenyataan kepada media bahawa tiada pengharaman dikuatkuasakan pada masa ini terhadap penyertaan peserta beragama Islam dalam pertandingan ratu cantik di negeri ini.

Ketika ditanya adakah beliau akan menerima peserta beragama Islam dalam pertandingan ratu cantik anjurannya pada masa akan datang, katanya, jika tiada larangan yang jelas beliau tiada masalah untuk menerima mereka.

"Pastinya kita akan memohon kebenaran daripada ibu bapa peserta dan JAIS terlebih dahulu," katanya.

No comments:

Post a Comment