My Add

Monday 14 November 2011

ADUN Kota Siputeh boleh hadiri sidang DUN Kedah esok

Oleh NORLIZAH ABAS

ISNIN, 14 November, 2011: Selepas 21 bulan menunggu untuk menghadiri Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, wakil rakyat bagi kerusi DUN Kota Siputeh, Datuk Abu Hasan Sarif akhirnya dibenarkan menghadiri persidangan itu yang akan berlangsung esok.

Ini berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan har ini yang membenarkan permohonan ADUN itu untuk mengetepikan perintah Mahkamah Rayuan pada 2 November lalu yang melarangnya menghadiri sidang berkenaan.

Menurut laporan Utusan Malaysia, dengan itu keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan permohonan Speaker DUN, Datuk Dr. Abdul Isa Ismail untuk mengantung pelaksanaan satu keputusan mahkamah terdahulu yang mengembalikan kerusi berkenaan kepada Abu Hasan, diketepikan.

Keputusan sebulat suara itu dicapai oleh panel tiga hakim diketuai Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin yang bersidang bersama Datuk Hashim Yusoff dan Datuk Ahmad Ma’arop.

Pada 18 Ogos lalu, Mahkamah Rayuan memutuskan tiada pengosongan kerusi di kawasan Kota Siputeh selepas membenarkan rayuan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Abu Hasan.

Mahkamah Rayuan berlainan pula membenarkan keputusan itu digantung.

Sementara itu, Abu Hasan dalam reaksi segera kepada pemberita memaklumkan, kesabaran selama 21 bulan berbaloi kerana beliau akhirnya dibenarkan menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan.

Dalam pada itu, peguam-peguam yang mewakilinya, Datuk Mohd. Hafarizam Harun dan Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaludin menyambut baik keputusan itu kerana ia mengembalikan hak penduduk DUN Kota Siputeh agar suara mereka didengar ketika sidang DUN berlangsung.

No comments:

Post a Comment