My Add

Monday, 28 November 2011

Isu kuota UiTM semakin panas

Nadia Aqeela Abdul Hamid sebagai 'Perdana Menteri' membentangkan usul Teknologi Penghakis Ekonomi Negara pada Debat Bahasa Melayu 211 Jam Tanpa Henti di UiTM Shah Alam, semalam. -   UTUSAN/Mohd. Azim Abd. Rahman


SHAH ALAM, ISNIN, 28 November, 2011:
DEBAT Bahasa Melayu 211 Jam Tanpa Henti (Debat 211 Jam) terus panas dan beremosi apabila Usul Ke-76, bertajuk Universiti Teknologi Mara (UiTM) Wajar Membuka Pintu Kepada Bukan Bumiputera disebut oleh 'Timbalan Yang Dipertua Dewan' untuk dibentang dan dibahas oleh ahli 'Yang Berhormat'.

Dimulakan dengan pembentangan oleh 'Perdana Menteri', Nurfatin Nawawi, bahawa UiTM perlu membuka kuota sebanyak 10 peratus kepada bukan bumiputera demi tujuan memupuk perpaduan di negara ini.

"Janganlah pula saya dituduh sebagai penderhaka Melayu hanya kerana mahu melihat pemupukan perpaduan di negara ini atas keinginan melihat konsep 1Malaysia berjaya dan melepasi sempadan perkauman," katanya.

Rasional beliau juga berdasarkan objektif institusi pengajian tinggi termasuk UiTM adalah untuk melahirkan ahli profesional minda kelas pertama tanpa mengira kaum dalam suasana yang muhibah.

"Jika kita terus berfikiran sempit, iri hati kepada kaum lain, maka kita sebenarnya telah menafikan hak rakyat dalam menerapkan demokrasi," katanya.

Beliau turut mempersoalkan sama ada kaum bumiputera telah mempunyai kualiti yang cukup baik dan mampu bersaing mengemudi nakhoda yang semakin mencabar sekarang.

Hujah Nurfatin terus disambut oleh Ketua Pembangkang, Sharifah Nur Afifah Syed Annuar yang bertanya kenapa UiTM juga yang dipilih, sedangkan universiti lain telah membuka pintu untuk semua kaum dan perpaduan kaum boleh dipupuk di universiti-universiti berkenaan.

"Kuota berapa peratus sekalipun adalah tidak wajar dan tidak boleh dibenarkan atau kita akan melihat sekali lagi peristiwa 12 Ogos 2008 akan berulang iaitu pelajar UiTM berdemonstrasi membantah apabila syor berkenaan dibangkitkan ketika itu," tegasnya.

Sebagai kaum bumiputera, tegasnya, orang Melayu harus mempertahankan hak dan kuota yang sedia ada.

Nurfatin yang dicabar oleh celahan daripada 'Timbalan Perdana Menteri', Nur Atiqah Zolkarnain bahawa isu warisan yang sudah tidak relevan lagi, menegaskan: "Kalau bukan kerana warisan, kita mungkin tidak akan berada di sini (UiTM)."

Hujahnya itu disambut dengan tepukan meja dan tepukan gemuruh anggota 'Dewan Rakyat'.

'Timbalan Ketua Pembangkang', Lina Syazwani Izhar dalam hujahnya pula menegaskan, membuka kuota UiTM bermakna akan membunuh hasrat melahirkan ramai profesional bumiputera.

Katanya, UiTM membuka pintu seluas-luasnya untuk memudahkan anak bumiputera yang kurang bernasib baik melanjutkan pelajaran.

Kepada soalan celahan 'Menteri Pertahanan', Muhammad Hafiezul Anwar, iaitu sampai bilakah bumiputera terus dimanjakan dan tidak bergantung kepada Majlis Amanah Rakyat (Mara), Lina Syazwani menegaskan, biarlah orang lain menuduh kaum bumiputera terlalu dimanjakan kerana pada hakikatnya ia adalah hak yang perlu dipertahankan.

Mohd. Israr Khalid mengimbau sejarah bahawa penjajah British telah memecahkan kedudukan geografi kaum di Malaysia dengan kaum Cina di bandar, Melayu di pedalaman dan muara sungai manakala India di kawasan estet.

Anak-anak Melayu ketika itu tidak mendapat akses pendidikan berkualiti sehinggalah RIDA ditubuhkan ketika itu sebelum ditukar namanya kepada Mara.

"Sanggupkah kita melihat Mara hidup ketika orang Melayu susah dan melihat ia mati ketika orang Melayu sudah senang sekarang?,'' tanya beliau.

Kata beliau, warisan itu perlu terus dipertahankan.

"Apa lagi yang tinggal kepada orang Melayu kalau UiTM hilang hak keistimewaannya? Ramailah anak Melayu merangkak-rangkak untuk melanjutkan pengajian mereka, terutamanya golongan miskin.

"Janganlah kera di hutan disusukan, anak sendiri mati kelaparan," tegasnya.

No comments:

Post a Comment