My Add

Monday 28 November 2011

Orang Asli di Malaysia paling beruntung

RAIS Yatim (dua, kiri) ketika menghadiri majlis Sentuhan Rakyat Bersama Masyarakat Orang Asli Sungai Sampo di Kampung Sungai Sampo, Jempol, Negeri Sembilan, semalam.

JEMPOL, ISNIN, 28 November, 2011:
MASYARAKAT Orang Asli di negara ini merupakan masyarakat yang paling beruntung dan bertuah jika dibandingkan dengan kaum pribumi di beberapa buah negara lain.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, ini kerana masyarakat Orang Asli di negara ini sentiasa mendapat perhatian dan pelbagai bantuan daripada kerajaan untuk meningkatkan taraf kehidupan mereka.

"Jika kita lihat masyarakat Orang Asli atau pribumi Maori di New Zealand atau Red Indian di Amerika Syarikat, mereka tidak beruntung seperti masyarakat Orang Asli di negara ini.

"Di sini kerajaan sentiasa memastikan masyarakat Orang Asli tidak dipinggirkan dan sentiasa menyalurkan pelbagai bantuan untuk mereka, tidak seperti masyarakat Orang Asli di tempat lain," katanya semasa berucap pada majlis Sentuhan Rakyat Bersama Masyarakat Orang Asli Sungai Sampo di Kampung Sungai Sampo di sini, semalam.

Katanya, golongan masyarakat ini juga akan sentiasa bersama kaum lain dalam membantu kerajaan menjayakan gagasan 1Malaysia.

Pada majlis yang dihadiri kira-kira 500 masyarakat Orang Asli itu, Rais turut mengumumkan Kampung Sungai Sampo dijadikan sebagai kampung WiFi, selain pembinaan sebuah gelanggang futsal di kampung berkenaan.

Katanya, ia adalah bagi membolehkan masyarakat Orang Asli khususnya golongan belia mereka mendapat manfaat daripada kedua-dua kemudahan ini dan memastikan mereka tidak dipinggirkan.

Rais kemudiannya turut menyampaikan sumbangan barangan keperluan harian kepada lebih 200 Orang Asli di situ selain bantuan beg sekolah untuk anak-anak mereka.

Terdahulu, Rais yang juga Anggota Parlimen Jelebu hadir ke majlis makan tengah hari sempena Pertemuan Bekas-bekas Guru dan Pelajar Sekolah Menengah Bandar Tinggi, Jelebu tahun 1968 yang diadakan di Hotel Seri Klawang, Jelebu.

Pernah bertugas sebagai guru di sekolah itu, Rais hadir bersama isteri, Datin Seri Masnah Rais yang juga bekas pelajar sekolah itu.

Majlis itu dihadiri lebih 100 bekas pelajar dan guru yang berada di sekolah itu pada tahun 1968. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment