My Add

Wednesday 9 November 2011

Najib harap Arab Saudi jadi wadi kestabilan dunia Islam

Mohd Najib Razak
SELASA, 08 November, 2011: Datuk Seri Najib Razak berharap Arab Saudi dapat memainkan peranan sebagai wadi kestabilan bagi dunia Islam. 

Perdana Menteri menyatakan demikian ketika merujuk kepada pergolakan yang melanda Timur Tengah akhir-akhir ini dalam perbualan telefon beliau dengan Raja Arab Saudi Raja Abdullah Abdul Aziz Al-Saud semalam.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri di Kuala Lumpur, hari ini, perbualan antara Najib, yang menginap di Istana Tetamu Mina, dan Raja Abdullah berlangsung selama 25 minit bermula 7.45 malam waktu tempatan semalam.

Najib turut melahirkan penghargaan kepada Raja Abdullah kerana Arab Saudi sentiasa menyediakan kemudahan kepada jemaah haji untuk beribadat dengan selesa, selamat serta berada dalam keadaan terkawal. 

Perdana Menteri turut mendoakan semoga Raja Abdullah dilanjutkan usia serta dipelihara kesihatan untuk terus memimpin bukan sahaja kerajaan Arab Saudi, malah dunia Islam seluruhnya secara berwawasan dan berkesan, menurut kenyataan itu. 

Raja Abdullah pula dalam perbualan balasnya memuji sikap, perwatakan serta imej jemaah Malaysia sebagai kumpulan haji yang terbaik saban tahun. 

Menurut kenyataan itu, Raja Abdullah juga menyatakan sokongan sepenuhnya terhadap kepimpinan Najib dalam menerajui Malaysia, dan berharap agar Perdana Menteri dapat terus memakmurkan negara bagi kesejahteraan rakyat Malaysia. 
Dalam perbualan itu, baginda menyifatkan Najib sebagai seorang pemimpin yang berjiwa Islam, dan menganggap beliau sebagai sahabat dan saudara. 

"Raja dan pemimpin bumi Anbiya' itu turut mendoakan semoga Perdana Menteri dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor serta seluruh rombongan memperoleh haji mabrur," menurut kenyataan itu. 

Ini perbualan telefon kedua antara Najib dan Raja Abdullah, selepas Perdana Menteri awal tahun ini menelefon pemimpin Arab Saudi itu dari Kuala Lumpur bertanya khabar mengenai kesihatan baginda yang menjalani rawatan di Amerika Syarikat. 


Bersama pemimpin Islam dirai Putera Mahkota Naif

Bernama melaporkan dari Mina, Najib menghadiri majlis makan malam anjuran kerajaan Arab Saudi di Istana Mina, semalam.

Perdana Menteri bersama pemimpin Islam lain, yang berada di Tanah Suci bagi mengerjakan ibadah haji, diraikan oleh Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri Arab Saudi Putera Mahkota Naif Abdul Aziz.

Yang turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Pada majlis itu, Jamil Khir diberi penghormatan untuk berucap dalam bahasa Arab bagi mewakili kerajaan dan umat Islam Malaysia.

Akhbar Arab News pula melaporkan bahawa Putera Mahkota Naif dalam ucapannya pada majlis itu meminta pemimpin dan umat Islam bersatu dalam mencari penyelesaian terhadap krisis yang dihadapi dunia Islam pada masa ini.

"Cabaran yang semakin bertambah menghendaki kita memikirkan tentang ancaman yang kita akan hadapi di masa depan.

"Kita harus sedar bahawa sebarang perbalahan dan pertikaian dalam dunia Islam tidak akan membawa sebarang faedah kecuali perpecahan, kekacauan dan kelemahan,” titah baginda.

Mengenai ibadah haji, Putera Mahkota Naif menjelaskan bahawa kerajaan Arab Saudi amat mengambil berat mengenai perkhidmatan kepada semua jemaah khususnya dalam soal kesihatan dan keselamatan. 

No comments:

Post a Comment