My Add

Tuesday 8 November 2011

UMNO tidak pernah sekat pemimpin parti bersuara; Muhyddin

SELASA, 08 November, 2011: UMNO tidak pernah menyekat mana-mana pemimpinnya di semua peringkat daripada menyuarakan pendapat tentang isu melibatkan parti kerana UMNO mengamalkan prinsip demokrasi, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin, yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, setiap hari beliau membaca dalam akhbar banyak pendapat daripada pemimpin-pemimpin UMNO yang mengulas mengenai pelbagai isu yang membuktikan tiada sekatan daripada parti.

"Tiada satu pun pekeliling yang dikeluarkan kepada mana-mana pemimpin Umno baik di peringkat negeri, bahagian atau individu mengatakan mulut mereka terkunci dan tertutup sepanjang masa. Kadang-kadang mereka bercakap lebih daripada yang sepatutnya pun,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan dialog terbuka dengan 50 graduan yang terpilih untuk menyertai program Teach For Malaysia di Kuala Lumpur, hari ini.

Muhyiddin mengulas kenyataan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah hari ini yang mendakwa kononnya dalam UMNO sudah tiada peluang untuk bersuara, dan jika mahu bercakap pada perhimpunan agung pun, individu itu perlu mendapatkan kelulusan pihak atasan.

Pada 22 Julai lepas, Tengku Razaleigh melancarkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dikenali sebagai Angkatan Amanah Merdeka (Amanah) dengan beliau sebagai presidennya, sebagai “platform untuk menyuarakan pendapat secara lebih meluas

Jangan salahkan UMNO jika gagal dapat pas media 

Sementara itu Media alternatif tidak harus menyalahkan UMNO sekiranya tidak dibenarkan membuat liputan perhimpunan agung parti itu akhir bulan ini, berikutan kegagalan mereka menghantar borang permohonan pas media sehingga tarikh akhir yang ditetapkan, iaitu 31 Oktober lepas.

Bernama memetik Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Ab Rauf Yusoh sebagai berkata UMNO memberi layanan yang adil kepada semua media tempatan dan luar negara, termasuk media alternatif, dengan membenarkan pengamal media mengemukakan permohonan rasmi untuk membuat liputan.

Bercakap pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Penyelarasan bersama Media sempena Perhimpunan Agung Umno 2011 hari ini, beliau berkata pihaknya menerima 1,760 permohonan pas media sehingga 31 Oktober.

"Sehingga hari ini, pihak kami masih tidak menerima borang permohanan pas media dari media-media alternatif dan ia akan memberi kesukaran apabila mereka membuat liputan mengenai perhimpunan kelak kerana tidak mempunyai pas media yang dikeluarkan UMNO,” katanya tanpa mendedahkan media alternatif yang terlibat.

Beliau berkata tahun ini, UMNO menyediakan kemudahan audio dan visual yang lebih baik serta lokasi lebih selesa dan luas berhampiran bilik sidang media berbanding tahun sebelumnya, bagi melancarkan tugas pengamal media. 

No comments:

Post a Comment