My Add

Monday 7 November 2011

Perkim bantu 2 sekolah pondok Selatan Thailand

MOHAMMAD Rodzi Awang Kechek (depan, tiga dari kanan) menyerahkan sumbangan tiga unit komputer kepada Drs. Ahmadkamae Waemusor diperhatikan oleh pelajar dan ahli jawatankuasa Perkim Selama di Pattani, baru-baru ini.

ISNIN, 07 November, 2011: Dua buah sekolah pondok di Selatan Thailand menerima sumbangan buku dan komputer daripada Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Selama, Perak yang mengadakan lawatan ke Yala dan Pattani, baru-baru ini.

Menurut liputan Utusan Malaysia, pada program tersebut, sekolah pondok Maahad al-Fateh di Kebun Nyior, Kabang, Yala menerima pelbagai jenis buku pembelajaran bahasa Inggeris, Melayu dan sosiologi bernilai RM1,000.

Sekolah Sasnupatam atau Maahad al-Tarbiyah di Muang, Pattani pula menerima tiga set komputer bernilai lebih RM3,000.

Semasa lawatan selama dua hari itu, Pengerusi Perkim Selama, Datuk Mohammd Rodzi Awang Kechek turut menghulurkan sumbangan peribadi wang tunai sebanyak RM2,500 kepada Maahad al-Fateh dan RM10,000 kepada Maahad al-Tarbiyah.

Menurut Mohammd Rodzi, sumbangan tersebut adalah rentetan daripada lawatan beliau ke dua sekolah pondok tersebut tiga minggu lepas untuk meninjau keadaan serta keperluan sekolah berkenaan.

''Kita mahu membantu meningkatkan penguasaan bahasa Melayu dan Inggeris serta kemahiran menggunakan komputer di kalangan pelajar sekolah pondok di Selatan Thai.

''Ramai daripada lulusan dua sekolah pondok tersebut melanjutkan pelajaran ke Kolej Universiti Insaniah di Mergong Kedah dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Sebab itu, penguasaan bahasa Melayu dan Inggeris penting bagi mereka," katanya kepada Utusan Malaysiadi sini.

Menurut Mohammd Rodzi, sekolah-sekolah pondok di Selatan Thai memerlukan sumbangan daripada rakyat Malaysia kerana sekolah berkenaan tidak menerima bantuan penuh daripada kerajaan Thai.

''Semasa lawatan ada guru pengajar Maahad al-Tarbiyah meminta sumbangan daripada rakyat Malaysia bagi membantu membina sebuah asrama baru kerana kemudahan sedia ada tidak cukup untuk menampung bilangan pelajar yang semakin ramai," ujarnya.

Sementara itu, Baba Maahad al- Fateh, Abdul Ghani Abdul Rahman mengucapkan terima kasih atas keprihatinan serta bantuan yang diberikan oleh Perkim Selama.

''Walaupun sekolah ini serba kekurangan, kami sering menerima tetamu dari Malaysia, Indonesia, negara-negara Arab dan Asia Selatan. Rumah yang sering menerima tetamu ada kebaikan dan murah rezeki," katanya.

Pengetua Maahad al-Tarbiyah, Drs. Ahmadkamae Waemusor pula berkata, pihaknya sangat menghargai bantuan yang diberikan oleh Perkim Selama itu kerana ia sangat bermakna untuk kira-kira 4,000 pelajar sekolah tersebut.

''Sekolah ini ada menerima bantuan antara RM8 dan RM10 untuk setiap pelajar daripada kerajaan Thai setiap bulan. Wang tersebut digunakan untuk membayar gaji-gaji guru.

''Sumbangan yang diberikan oleh Perkim Selama ini sedikit sebanyak dapat membantu kami meningkatkan kemudahan pembelajaran yang ada di sini," katanya.

No comments:

Post a Comment