My Add

Thursday 17 November 2011

SOP tangani masalah nelayan Malaysia - Indonesia

KHAMIS, 17 November, 2011: Malaysia dan Indonesia bersetuju memperkenalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi menangani masalah nelayan yang menangkap ikan dalam kawasan yang dianggap menjadi tuntutan kedua-dua belah pihak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, SOP itu yang berdasarkan prinsip layanan saksama diharap dapat dikuatkuasakan mulai 1 Januari ini.

‘‘Kita berharap dengan pengenalan SOP ini tidak timbul lagi masalah nelayan yang ditimpa musibah apabila termasuk dalam kawasan perairan yang menjadi tuntutan,’’ katanya pada sidang akhbar di Bali, semalam, lapor Utusan Malaysia

Beliau sebelum itu mengadakan mesyuarat dua hala dengan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono sejurus tiba untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-19 yang bermula hari ini.

Sebelum ini, terdapat beberapa isu berkaitan nelayan kedua-dua negara yang ditahan dan dihukum kerana dikatakan memasuki perairan yang menjadi tuntutan kedua-dua belah pihak.

Najib berkata, kedua-dua pihak sedar bahawa nelayan tidak mempunyai sumber pendapatan lain selain bergantung kepada tangkapan ikan.

Katanya, mekanisme SOP itu akan dirangka oleh kementerian berkaitan dan di pihak Malaysia oleh Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. 

No comments:

Post a Comment