My Add

Monday 21 November 2011

Sultan Kedah lancar buku `The Rulers of Malaysia'

ISNIN, 21 November, 2011:
SULTAN Kedah Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah hari ini berkenan melancarkan sebuah buku yang memaparkan sejarah pemerintahan beraja, protokol serta budaya dan tradisi diraja negara ini.

Turut berangkat ke majlis pelancaran itu Sultanah Kedah Sultanah Haminah Hamidun.

Buku `The Rulers of Malaysia' merupakan jilid ke-16 dan terakhir dalam siri `The Encyclopedia of Malaysia' hasil penulisan 23 ahli sejarah dan akademik yang mengambil masa selama lima tahun untuk disiapkan.

Baginda bertitah jilid ini mengandungi 80 artikel serta lebih 750 ilustrasi seperti gambar, setem dan peta yang akan menjadi sumber berharga, menarik dan mudah difahami pembaca dari dalam dan luar negara yang berminat tentang sejarah Malaysia.

"Jilid ini meneliti kepentingan kontemporari Pemerintah Beraja dan memperjelaskan bagaimana para pemerintah melaksanakan beberapa peranan penting di peringkat negeri dan kebangsaan,” titah baginda pada Majlis Pelancaran `The Rulers of Malaysia' di sini hari ini.

Baginda turut mengucapkan tahniah kepada Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Editorial Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid serta pihak penerbit atas usaha gigih dalam menyusun dan menyiapkan buku itu.

"Beta juga berasa amat gembira kerana projek ini mendapat sokongan ahli perniagaan,” titah baginda.

Jilid pertama bagi siri `The Encyclopedia of Malaysia' mula diterbitkan pada tahun 1998 dan mengambil masa lebih 15 tahun untuk menyiapkan kesemua 16 jilid itu yang merupakan satu projek ulung negara.

The Rulers of Malaysia, yang berharga RM95 senaskhah boleh didapati di semua kedai buku utama seluruh negara mulai Isnin depan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment