My Add

Wednesday, 23 November 2011

Sungai Langat, Sungai Semenyih tercemar diesel

RABU, 23 November, 2011:
TIGA hari lalu, Utusan Malaysia menyiarkan laporan air di Kelantan tercemar bakteria E.Coli, hari ini Berita Harian pula melaporkan langkah SYABAS terpaksa menghentikan sementara operasi dua loji rawatan air bersih ekoran sisa diesel. 

Operasi Loji Rawatan Air (LRA) Cheras Batu 11 dan Loji Rawatan Air Sungai Semenyih, terpaksa dihentikan sementara sejak 5.30 pagi, kelmarin berikutan berlaku pencemaran diesel di Sungai Langat dan Sungai Semenyih yang menjadi sumber bekalan air untuk dirawat oleh dua loji terbabit.

Wartawan SARAH SULAIMAN memetik Pengurus Besar Jabatan Operasi dan Penyelenggaraan Puncak Niaga (M) Sdn Bhd, Johari Pawanchik, sebagai berkata pihak Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) terpaksa mengambil tindakan segera dengan menghentikan tugas tidak berjadual itu bagi mengelak rawatan air mentah yang sudah dicemari.

“Kelmarin, kakitangan SYABAS mengesan pencemaran terbabit pada jam 5.30 pagi dan terpaksa menutup pintu laluan masuk air selama sembilan jam sebelum dibuka semula pada jam 7 malam. 

“Pencemaran kali kedua dikesan semalam jam 8.30 pagi dan pintu laluan masuk air ditutup sekali lagi. 

“Kita menjangkakan kedua-dua loji terbabit akan memulakan semula operasi rawatan air selewat-lewatnya jam 10 malam (tadi) bagi memastikan kualiti air mentah beransur pulih,” katanya semalam. 

Difahamkan, kadar pencemaran diesel di kedua-dua sungai terbabit semakin serius tahun ini berikutan sejak awal tahun lalu, sudah empat kali kejadian sama berulang. 

Beliau berkata, sekiranya masalah ini tidak dapat ditangani, risiko gangguan bekalan air kepada lebih 13,000 akaun pengguna di sekitar Balakong dan 330,000 akaun pengguna di Putrajaya, Cyberjaya, Sepang dan Puchong akan terjejas. 

Ketua Pegawai Eksekutif SYABAS, Datuk Ruslan Hassan, menasihatkan pihak menjalankan aktiviti berdekatan sungai termasuk industri pekilangan, pengorekan pasir, penternakan dan pertanian supaya dapat menguruskan sisa toksik yang ada dengan cermat tanpa mencemari sumber air mentah. 

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang aduan atau pertanyaan berhubung masalah ini, boleh menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan SYABAS (PUSPEL) menerusi talian bebas tol yang beroperasi 24 jam sehari 1-800-88-5252 atau SMS dengan menaip PUSPELaduan / pertanyaan dan hantar kepada 39222. 

Aduan juga boleh dibuat di laman Facebook atau Twitter SYABAS dengan menaip ‘puspel’ atau ‘puspel syabas’.

No comments:

Post a Comment