My Add

Tuesday 22 November 2011

Tiada cadangan mendaftar pengundi secara automatik

SELASA, 22 November, 2011: 
KERAJAAN tidak bercadang meminda Perlembagaan bagi membolehkan warga negara yang mencapai umur 21 tahun didaftar secara automatik sebagai pemilih. 

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk VK Liew, berkata kaedah itu mempunyai kelemahan dan boleh menimbulkan kesulitan jika dilaksanakan.

Beliau berkata, berikutan kadar mobiliti yang tinggi, kebanyakan rakyat Malaysia kini tidak tinggal di alamat seperti yang didaftarkan dalam kad pengenalan, dan tidak pula membuat pertukaran alamat.

"Sekiranya pendaftaran secara automatik dilaksanakan dan jika berlaku pilihan raya, dikhuatiri peratusan keluar mengundi akan rendah kerana ramai yang tidak dapat pulang ke alamat yang didaftar untuk mengundi dan secara tidak langsung menjejaskan proses demokrasi yang diamalkan. 

"Berdasarkan pada hakikat ini, maka kerajaan belum bercadang untuk membuat pendaftaran pengundi secara automatik," katanya ketika menjawab soalan Datuk Dr Marcus Mojigoh (BN-Putatan) yang ingin tahu pendirian kerajaan mengenai isu berkenaan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini. 

Liew berkata, cuma dua negara di dunia iaitu Finland dan Israel melaksanakan pendaftaran pemilih secara automatik bagi warga masing-masing. 

Katanya, Perlembagaan memperuntukkan warga Malaysia yang mencapai umur 21 tahun layak mengundi dan adalah menjadi tanggungjawab individu untuk mendaftar sebagai pengundi. 

Bagaimanapun, tiada peruntukan dalam Perlembagaan yang boleh memaksa mereka untuk berbuat demikian jika mereka memilih untuk tidak mendaftar menjadi pengundi pada sesuatu masa itu. 

Liew berkata, 842,726 pemilih baru didaftarkan pada 2007; 155,420 pada 2008; 279,270 pada 2009 dan 819,489 pada 2010. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment