My Add

Thursday 24 November 2011

Tolak kerajaan Pas Kelantan: Zahid Hamidi

Dr. Ahmad Zahid 
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 24 November, 2011:
RAKYAT Kelantan diseru supaya menghukum dan menolak kerajaan negeri pimpinan Pas pada pilihan raya umum akan datang kerana gagal menyediakan air bersih secara meluas kepada penguna sungguhpun telah menguasai negeri itu selama lebih 20 tahun.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, masalah kekurangan air bersih di negeri tersebut perlu dijadikan penanda aras utama mengenai keupayaan kerajaan Pas yang memerintah Kelantan kini.

"Hadis ada menyebut bahawa akal yang sihat terletak pada badan yang sihat dan badan yang sihat terletak pada apa yang dinikmati oleh badan, termasuklah air sebagai salah satu bahan utama pemakanan kita.

"Oleh sebab itu, tolaklah makanan yang tidak elok dengan cara menolak orang (kerajaan) yang tidak dapat memberi makanan yang tidak elok (kepada kita)," katanya pada sidang akhbar di Kementerian Pertahanan di sini hari ini.

RAJA SYAHRIR ABU BAKAR dalam laporannya menyebut Utusan Malaysia sejak Ahad lalu menyiarkan laporan khas empat siri mengenai kualiti rendah bekalan air bersih di Kelantan akibat kegagalan pengurusan kerajaan Pas dan Syarikat Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB).

Dalam laporan-laporan berkenaan, pelbagai penemuan diperoleh menerusi ujian klinikal serta tinjauan orang ramai antaranya mengenai ancaman leptospirosis serta lebihan kandungan logam dalam air seperti arsenik, plumbum, mangan dan besi.

Siri akhir laporan khas akhbar ini hari ini pula menyiarkan mengenai masalah kerosakan gigi yang mengancam 95 peratus kanak-kanak Kelantan akibat kekurangan fluorida apabila hanya lima daripada 29 loji rawatan air di negeri itu mempunyai sistem pemfluoridaan.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid mencabar kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor supaya mengotakan kata untuk mengadakan pilihan raya negeri secara berasingan atau lebih sesuai selepas Pilihan Raya Umum (PRU13) akan datang.

Katanya, pilihan raya negeri yang berasingan daripada PRU memberikan kelebihan kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk kembali menguasai Selangor apabila segala tumpuan dapat diberikan kepada kempen pilihan raya negeri itu nanti.

"Saya tidak fikir mereka (PKR dan pembangkang) akan menang kerana sebahagian besar manifesto yang mereka janjikan pada 2008 tidak dapat dipenuhi dan tentu sekali rakyat tidak boleh dibutakan dengan janji-janji berbentuk retorik.

"Saya minta Tan Sri Abdul Khalid (Menteri Besar Selangor) buat berasingan kerana saya kenal beliau sejak 1977 sewaktu kami bersama-sama di Permodalan Nasional Bhd. (PNB). Beliau cukup baik sebagai tokoh korporat tetapi belum tentu baik sebagai tokoh politik," tegasnya.

Kelantan tak bertanggungjawab enggan guna pelan SPAN

Sementara itu, tindakan kerajaan negeri Kelantan yang tidak mahu menggunakan pelan alternatif Suruhanjaya Perkhidmatan Air Nasional (SPAN) bagi mengatasi masalah air bersih di negeri itu dilihat sebagai satu tindakan tidak bertanggungjawab.

Setiausaha Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Muhammad Shaani Abdullahberkata, ini kerana kedegilan seperti itu hanya memberi padah kepada kesihatan rakyat terutama kepada generasi akan datang.

"Selalunya, mana-mana kerajaan harus bertanggungjawab terhadap kebajikan dan kesihatan rakyat, lebih-lebih lagi dalam memastikan kepentingan generasi akan datang agar lebih terjamin.

"Kalau mereka tolak atau tidak menyelesaikan masalah, maka mereka bukan kerajaan yang bertanggungjawab," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini, semalam.

Utusan Malaysia semalam melaporkan mengenai kenyataan Persatuan Penyelidik Air dan Tenaga Malaysia (AWER) yang mendakwa masalah air bersih di Kelantan boleh diatasi sekiranya kerajaan negeri tidak menolak untuk mengguna pakai pelan alternatif yang disediakan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Nasional (SPAN).

Malah AWER sendiri telah mencadangkan beberapa penyelesaian, namun tidak dilayan oleh pihak kerajaan negeri.

Mengulas lanjut, Muhammad Shaani berkata, kerajaan negeri Kelantan perlu menyelesaikan segera masalah bekalan air bersih kepada rakyatnya bagi memastikan ia tidak berlarutan.

Ini kerana kata beliau, air merupakan keperluan asas dan memberi kesan yang amat tinggi kepada kesihatan fizikal dan mental, khususnya perkembangan kanak-kanak.

"Justeru, pihak kerajaan negeri tidak boleh memandang rendah terhadap kepentingan air bersih.

"Perlu ada perhatian segera yang komited untuk mencari penyelesaian," katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Shaani turut menggesa agar Kementerian Kesihatan menggunakan kuasanya bagi memastikan masalah air di negeri itu dapat diselesaikan segera.

Malah, beliau turut meminta agar setiap cadangan atau pelan perancangan yang disediakan bagi mengatasi masalah air bersih diuar-uarkan kepada rakyat.

Sementara itu, Setiausaha Penerangan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Zulkefli Muhammad berpendapat, kerajaan negeri Kelantan tidak harus mempertaruhkan keselamatan dan kesihatan rakyat semata-mata kerana kepentingan politik.

"Apa yang penting ialah memastikan kesejahteraan rakyat terpelihara. Kita perlu ingat, apa sahaja fahaman sama ada politik mahupun agama, air itu adalah satu keperluan," katanya.  





No comments:

Post a Comment