My Add

Thursday 24 November 2011

Tuanku Mizan selamat kembali dari Antartika

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 24 November, 2011: 
YANG Dipertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin selamat tiba di tanah air pagi ini selepas melakukan lawatan khas ke pusat saintifik di benua Antartika selama lima hari. 

Pesawat yang membawa Tuanku Mizan mendarat di Pangkalan Tentera Udara Diraja di Subang pada jam 6.05 pagi tadi.

Ketibaan baginda disambut oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri, Datuk Othman Mahmood dan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Datuk Syed Danial Syed Ahmad.

Lawatan khas baginda ke Antartika diiringi Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili; Pengerusi Badan Bertindak Antartika Akademi Sains Malaysia (ASM), Tan Sri Salleh Mohd Nor; Pengarah Pusat Penyelidikan Antartika Kebangsaan (NARC) Prof Datuk Dr Azizan Abu Samah serta petugas Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) Mohamad Mudanoran Mohamad Mushaari yang membuat liputan sepanjang lawatan tersebut. 

Lawatan khas itu adalah bersempena kesertaan Malaysia ke atas Triti Antartik 1959 pada 31 Oktober lalu. 

Lawatan Seri Paduka Baginda termasuk ke Pangkalan Scott dilihat dapat memperkukuhkan kerjasama penyelidikan saintifik Antartika antara Malaysia dan New Zealand di samping mengeratkan hubungan dua hala antara kedua-dua buah negara. 

Pangkalan Scott ialah sebuah fasiliti penyelidikan kendalian New Zeland di Antartika. 

Penglibatan Malaysia berhubung benua Antartika bermula apabila Malaysia dan Antigua & Barbuda mengutarakan isu Antartika pada perhimpunan agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) pada 1983. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment