My Add

Saturday 12 November 2011

Utusan kekal sebagai payung bangsa Malaysia

Tengku Adnan 
SABTU, 12 November, 2011: Menurut Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, akhbar Utusan Malaysia mesti dikekalkan sebagai payung bukan hanya bagi kaum Melayu tetapi juga kepada bangsa Malaysia,  

Pada pandangan beliau, ini kerana Utusan Malaysia sehingga kini membuktikan ia sebagai akhbar harian yang melaporkan perkara sebenar dan sepatutnya dilakukan untuk membangunkan sebuah negara.

Katanya, ia selaras dengan slogan Utusan Malaysia: Pemangkin Fikiran Rakyat, manakala Mingguan Malaysia pula Cetusan Hati Nurani Rakyat.

"Inilah yang patut kita cuba untuk tekankan supaya kaum lain seperti Cina, India, Kadazan, Iban dan lain-lain mesti diberitahu kepada mereka betapa pentingnya mereka mendapatkan cerita atau berita daripada Utusan Malaysia.

"Sebagai Setiausaha Agung UMNO, saya sentiasa akan membantu apa yang dikehendaki oleh Utusan demi untuk memastikan bahawa Utusan akan terus menjadi media yang boleh kita banggakan khususnya untuk orang Melayu dan juga rakyat Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan bangunan pejabat Biro Utusan Putrajaya di Presint 15 di Putrajaya, semalam. Bangunan empat tingkat itu meenelan belanja RM1.9 juta. Pejabat biro Utusan Putrajaya terletak di tingkat satu.

Turut hadir Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin; Pengarah Eksekutif Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Nasir Ali: Ketua Pengarang kumpulan, Datuk Aziz Ishak dan bekas Ketua Pengarang, Tan Sri Zainuddin Maidin serta Ketua Biro Utusan Putrajaya, Zulkifli Jalil.

Tengku Adnan berkata, walaupun UMNO memiliki saham terbesar dalam Utusan Malaysia namun parti pemerintah itu tidak pernah campur tangan dalam urusan akhbar tersebut.

Ini kerana, kata beliau, UMNO berpandangan bahawa mereka yang diberikan tanggungjawab dalam Utusan Malaysia tentu mengetahui dan memahami apa yang patut dilaksanakan demi kebaikan bangsa, agama dan negara.

"Saya berkeyakinan dengan adanya slogan itu, semua wartawan Utusan akan melaksanakan pelaporan berita yang bertanggungjawab supaya rakyat didedahkan kepada perkara-perkara yang benar-benar mereka nak tahu atau nak dimaklumkan kerajaan," katanya.

BN letak calon pilihan rakyat

Seementa itu beliau berkata, BN mahu calonnya yang bertanding dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) akan datang bukan sahaja boleh menang tetapi juga merupakan pilihan rakyat.

Katanya, pengumuman Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam yang tidak meletakkan had umur atau jumlah pernah menjadi wakil rakyat untuk menjadi calon, bertujuan memastikan calon yang bertanding nanti adalah mereka yang dikehendaki rakyat.

Menurutnya, perkara itu penting bagi memastikan bakal-bakal calon BN nanti tidak hanya berusaha memenuhi kehendak ahli parti tetapi juga permintaan rakyat di kawasan masing-masing.

“Saya juga berkeyakinan pengumuman Perdana Menteri mengenai kriteria calon BN semalam telah melenyapkan persepsi sebelum ini yang mengatakan yang tua tidak boleh menjadi calon.

“Oleh itu, saya berkeyakinan bahawa calon yang akan diketengahkan oleh BN untuk pilihan raya umum nanti adalah calon yang dikehendaki oleh rakyat,” katanya.

No comments:

Post a Comment