My Add

Wednesday 1 February 2012

Bimbang Melayu berpecah

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL

KUALA LUMPUR, RABU, 01 Februari, 2012: Peringatan Tengku Panglima di Raja Selangor, Tengku Sulaiman Salahuddin Abdul Aziz Shah supaya negeri itu tidak dikuasai pihak luar harus dinilai sebagai kebimbangan beliau terhadap perpecahan dalam kalangan orang Melayu ketika ini.

Justeru, Setiausaha Gabungan NGO Malaysia (GNM), Mohd. Jurit Ramli menegaskan, orang Melayu terutamanya anak negeri Selangor perlu mengambil pengajaran teguran itu demi memastikan Melayu kekal bersatu padu.

‘‘Saya melihat teguran yang ditujukan penuh berlapik itu lahir daripada kebimbangan Tengku Sulaiman sekiranya Selangor jatuh kepada orang luar yang tidak tahu asal-usul negeri tersebut.

‘‘Dalam keadaan itu, tidak mustahil hak-hak keistimewaan orang Melayu, adat dan budaya kehidupan orang Melayu yang tinggi tata-susilanya serta institusi raja-raja Melayu tidak lagi dihormati,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada penegasan Tengku Sulaiman yang tidak mahu negeri Selangor dikuasai pihak luar yang tidak tahu asal-usul negeri tersebut.

Sehubungan itu, Tengku Sulaiman menggesa orang Melayu supaya jangan sesekali menimbulkan perpecahan sekiranya mahu keamanan yang dinikmati berkekalan.

Jurit menambah, teguran Tengku Sulaiman itu juga lahir daripada kebimbangan melihat orang Melayu hari ini yang sanggup menabur fitnah hanya kerana berbeza ideologi politik sehingga melupakan hakikat bahawa mereka adalah saudara seagama.

Sedangkan, kata beliau, Tengku Sulaiman cukup menyedari musuh-musuh Islam dan Melayu sedang mentertawakan bangsa Melayu kerana sikap tersebut dan hanya menunggu masa untuk menyingkirkan satu-satunya kuasa politik yang dimiliki Melayu ketika ini.

‘‘Kerana itu saya sangat bersetuju dengan saranan Tengku Sulaiman supaya subjek sejarah itu diberi penekanan yang penting dalam pendidikan bagi memastikan generasi muda hari ini tidak lupa mengenai asal-usul bangsa dan negara,” katanya.

Dalam nada sama, Pengerusi Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS), Hamizun Khairuddin berkata, peringatan Tengku Sulaiman itu merupakan teguran ikhlas dari istana yang mahu melihat negeri Selangor khususnya kekal menjadi pusat kemakmuran ekonomi dan kemakmuran rakyat.

No comments:

Post a Comment