KUALA LUMPUR, RABU, 01 Februari, 2012: Tulisan jawi perlu digunakan selalu dalam kehidupan seharian bagi mengelakkan ia daripada pupus dan dilupakan oleh generasi muda.
Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosio Budaya Majlis Profesor Negara (MPN), Prof. Datuk Dr. Zainal Kling berkata, tiada kaedah lain untuk memartabatkan tulisan jawi di negara ini selain mengamalkannya dalam kehidupan seharian.
Katanya, kaedah terbaik adalah menerusi sistem pendidikan kerana generasi muda dapat mempelajari dengan lebih dekat keunikan tulisan jawi.
"Saya tidak berpendapat tulisan jawi akan pupus kerana ia masih diamalkan di negara ini terutamanya di sekolah-sekolah agama. Bagaimanapun, saya akui ia perlu dimartabatkan supaya generasi muda lebih menghargai dan memahami kepentingan tulisan jawi.
"Saya fikir sistem pendidikan merupakan ejen terbaik untuk meneruskan kesinambungan tulisan jawi. Menerapkan pembelajaran tulisan jawi di setiap peringkat persekolahan akan dapat mendidik generasi muda membaca serta menulis jawi dengan baik.
"Selain itu, penerbitan yang berorientasikan tulisan jawi juga perlu dipertingkatkan supaya menarik minat generasi muda untuk mengetahui keunikan dan mempelajari tulisan jawi," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Beliau mengulas kebimbangan seorang pakar tulisan jawi berbangsa Korea, Prof. Dr. Kang Kyoung Seok yang bimbang tulisan itu semakin dilupakan terutama dalam kalangan generasi muda di Malaysia.
Pengarah Institut Peradaban Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Datuk Dr. Abdul Latiff Abu Bakar pula berkata, kerajaan seharusnya mewajibkan pembelajaran Bahasa Melayu menggunakan tulisan jawi dalam sukatan matapelajaran pendidikan negara sebagai usaha memartabat dan mempromosikan tulisan berkenaan.
"Kalau orang luar begitu menghargai tulisan jawi, mengapa kita tidak? Saya berpendapat kerajaan perlu tegas dalam isu ini. Kita tidak mahu lama-kelamaan tulisan jawi dilupakan begitu sahaja.
"Langkah drastik perlu diambil untuk mengekalkan warisan datuk nenek kita itu. Dalam hal ini, saya rasakan adalah wajar sekiranya kerajaan mewajibkan pembelajaran Bahasa Melayu dengan menggunakan tulisan jawi serta mengadakan peperiksaan untuk menguji sejauh mana pemahaman pelajar terhadap tulisan jawi," jelasnya.
No comments:
Post a Comment